Tiada siapa lebih besar dalam Pakatan Harapan – Anthony Loke

Tiada siapa lebih besar dalam Pakatan Harapan – Anthony Loke

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menegaskan tiada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan bersifat menguasai sebaliknya masing-masing mempunyai kekuatan yang sama.

“Dalam Pakatan Harapan, tidak ada soal abang sulung atau pun adik bongsu. Tidak ada siapa yang lebih besar dalam Pakatan Harapan,” ujarnya pada sidang media di Bilik Media Parlimen, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, prinsip tersebut telah diamalkan sejak penubuhan Pakatan Rakyat sekaligus jauh berbeza dengan BN.

“Tiada isu parti mana yang akan mendominasi gabungan parti ini. Kita tidak ada satu parti yang dominan dalam Pakatan Harapan dan itu perbezaan ketara dengan BN,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang memberi gambaran partinya akan menerajui perjuangan Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan Pakatan Rakyat tidak mempunyai hasrat mengambil pendekatan BN kerana rakyat tidak mahu melihat satu lagi BN 2.0.

“Dalam BN, semua orang tahu parti yang paling dominan adalah Umno dan dalam Pakatan Harapan kita tak berniat atau bukannya kita nak meniru pendekatan dari BN.

“Yang membuat Pakatan Harapan kuat dalam PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) adalah kerana kita mempunyai parti yang mempunyai kekuatan sama,” ujar Anthony lagi.

Pada 25 Mac lalu, Muhyiddin dalam ceramahnya di Kota Kiri, Padang Rengas memberitahu usaha memastikan Pakatan Harapan dipelopori parti berteraskan Melayu penting bagi mewujudkan keyakinan rakyat.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama-sama kepimpinan parti-parti komponen di dalam Pakatan Harapan dalam masa terdekat.

COMMENTS

Wordpress (0)