Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa parti Perikatan Nasional (PN) berhak untuk membuat rancangan bagi menumbangkan kerajaan perpaduan.
Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan rancangan itu tidak mustahil berikutan ada parti komponen kerajaan yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar Ibrahim.
“Kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hati bersama-sama komponen sendiri, ada berlaku,” katanya.
Menurutnya, tindakan tersebut tidak salah dari segi undang-undang malah berlandaskan daripada prinsip demokrasi.
Setelah berjaya mendapatkan sokongan daripada pihak tertentu, maka tiada sesiapa boleh menghalang rencana yang telah disusunnya itu.
“Itu satu kenyataan politik dan biasa berlaku dalam politik, undi tidak percaya dan dapatkan SD (Akuan Bersumpah), penyokong kerajaan berpaling tadah itu berlaku.
“Memang kita berhak merancang. Tidak ada siapa yang boleh halang, kita nak merancang,” katanya bagi mengulas lanjut kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Hadi Awang boleh terus ‘merancang dan mengigau’ untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Kata perdana menteri Malaysia ke 10, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu berhak untuk terus berangan bagi menggapai impiannya itu.
Namun begitu, pembangkang tidak seharusnya meneruskan sebarang rancangan yang boleh menjejaskan kestabilan yang dinikmati negara buat masa ini.
Wakil yang diberi mandat oleh rakyat ini seharusnya lebih fokus untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara ketika ini seperti fenomena banjir.
Baca juga: Tidak menunggang agama, Presiden Putra dakwa partinya lebih ‘bersih’ dari Pas