Malaysia Dateline

Tiada siasatan dalaman dilakukan terhadap KSU MOA

 

“Tiada siasatan dalaman dilakukan terhadap Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan,” demikian jelas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata beliau tidak pernah mengarahkan sebarang siasatan dalaman dilakukan terhadap Ketua Setiausaha (KSU) di kementeriannya itu.

“Tiada siasatan dalaman dilakukan. Saya tidak pernah mengarahkan atau menerima apa-apa arahan.

“Saya difahamkan pertukaran (notis) yang saya terima semalam macam prosedur biasa untuk mana-mana pertukaran itu berlaku.

“Semalam, saya menerima satu notis daripada pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ada empat hingga lima orang terlibat dalam pertukaran itu.

“Ada juga yang berpindah kementerian, dan saya dimaklumkan memang berlaku pertukaran. Jadi saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan kerana tidak ada apa-apa yang berlaku di kementerian saya,” jelas beliau ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pulai itu menambah bahawa proses pertukaran sedemikian adalah di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan juga Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ditanya adakah notis semalam sudah menyebut nama KSU atau hanya sekadar makluman biasa, Salahuddin berkata, beliau membaca notis tersebut melalui kumpulan Whatsapp dan tidak ada penafian rasmi mengenai perkara itu.

“Jadi saya anggap itu satu urusan biasa di pejabat KSN atau di pejabat Ketua Pengarah JPA,” jelas Salahuddin sambil menambah pihaknya belum menerima notis secara rasmi mengenai pertukaran KSU dan menegaskan tidak mahu mencampuri bidang kuasa KSN atau JPA.

Memetik laporan Malaysia Gazette semalam, Sallehhuddin menerima keputusan dipindahkan ke Jawatan Penempatan Khas, JPA berkuatkuasa serta merta.

Dalam kenyataan semalam, beliau redha dengan keputusan itu dan menyifatkan ada hikmah di sebalik ketentuan yang ditetapkan Allah.

“Setiap yang bermula pasti ada pengakhirnya. Suka saya maklumkan bahawa perkhidmatan saya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian telah tamat bermula pada 22 November 2019.

“Kita hanya merancang, Dia yang menentukan. Apa yang terjadi adalah di atas kehendak Nya dan ada hikmah di sebaliknya. Saya reda dan menerima keputusan ini dan mendoakan semoga ada sinar pencerahan.

“Hanya Allah yang mengetahui dan masa akan menentukan segala-galanya. Kita kerja kerana Allah dan rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Sallehhuddin didakwa ditukarkan susulan kontroversi melibatkan tender padi bernilai RM1.4 bilion.

Pertukaran itu dibuat pada Jumaat lalu, sehari selepas Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membangkitkan dakwaan mengenai rundingan terus untuk kontrak tersebut.