Malaysia Dateline

Tiada sidang Parlimen, Speaker Dewan Rakyat sempurnakan pelancaran Majlis Pemimpin Politik Wanita

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun petang tadi merasmikan pelancaran Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL).

Speaker itu hadir pada hari pertama sepatutnya persidangan Dewan Rakyat jika mengikut takwim awal mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14 sebelum pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Walau bagaimanapun, persidangan Parlimen pada 8 Mac hingga 8 April digantung susulan pelaksanaan perintah darurat di seluruh negara yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos nanti.

Penglibatan Azhar dalam COMWEL yang menghimpunkan pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang politik, agama dan kaum itu dimaklumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin malam ini.

“Selesai Majlis Pelancaran Council of Malaysian Women Political Leaders (COMWEL) yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

“COMWEL ditubuhkan bagi menghimpunkan kepimpinan wanita Malaysia dalam memperjuangkan agenda pemberdayaan wanita dan pengarusperdanaan gender secara bersistematik dan holistik,” kata bekas Naib Presiden PKR itu.

Menerusi hantaran di Facebook, Zuraida yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut turut memberitahu COMWEL diasaskannya sendiri.

Kata Zuraida, COMWEL turut akan melaksanakan kerjasama strategik bersama organisasi wanita antarabangsa seperti UN Women, Women Political Leaders (WPL), dan juga organisasi wanita tempatan.

Sebelum ini, pihak Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang lain termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mendesak kerajaan mengadakan segera sidang Parlimen.

Pada 4 Mac lalu, pemimpin-pemimpin PH bertemu dengan Azhar di Parlimen membincangkan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat selaras dengan kenyataan media Istana Negara bulan lalu.

Pada 24 Februari lepas, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 Mac lalu berkata, persidangan Parlimen bukan digantung tetapi ditangguhkan atas faktor perundangan, sains serta data pandemik Covid-19 ketika ini.

Katanya, kerajaan tidak mahu merisikokan ahli Parlimen yang rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.