Malaysia Dateline

Tiada soalan, Majlis Presiden PH akan jumpa Speaker Dewan Rakyat

Pakatan Harapan (PH) membantah keras tindakan yang tidak membenarkan soal jawab lisan dan usul pada sesi Parlimen yang dijadual bermula 18 Mei depan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan berkata, pihaknya mendapati wujud beberapa pelanggaran kelaziman dan Peraturan Mesyuarat Parlimen berdasarkan notis mesyuarat bertarikh 17 April 2020.

Katanya, Setiausaha Dewan Rakyat telah memaklumkan bahawa dalam keadaan wabak Covid-19 sedang menular ini, mesyuarat Parlimen akan berjalan tanpa sesi pertanyaan jawab lisan, waktu pertanyaan menteri, serta sebarang usul daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat.

“Majlis Presiden mengingatkan bahawa fungsi Parlimen adalah sebagai tiang seri demokrasi, khususnya sebagai institusi semak dan imbang mengawasi perjalanan kerajaan.

“Majlis Presiden turut membantah had masa persidangan sehari oleh kerana perbahasan dan perbincangan usaha kerajaan membendung wabak Covid-19, wajib diberi tumpuan khusus di Parlimen.

“Jadi, kami mencadangkan agar sidang diadakan selama sekurang-kurangnya dua hari selain hari perasmian Parlimen, bagi membolehkan perbahasan dan perbincangan yang lebih mendalam.

“Perubahan ini boleh dilaksana Ketua Majlis berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(2). Oleh demikian, Majlis Presiden akan menghantar wakil untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada kadar segera bagi membincangkan perkara-perkara di atas,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Majlis Presiden turut menyedari akan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19, yang tidak memungkinkan perjalanan mesyuarat Parlimen berjalan seperti sediakala.

“Namun, apabila melihat Parlimen di United Kingdom, Kanada dan Singapura yang berjaya mengubah peraturan masing-masing untuk meneruskan sidang ketika wabak ini melanda, kami percaya usaha yang sama mampu dilakukan bagi Parlimen Malaysia.

“Sebagai contoh, jumlah Ahli Yang Berhormat yang hadir boleh dikurangkan ke satu jumlah munasabah untuk mengekalkan penjarakan sosial tanpa menjejaskan korum mahupun peratusan parti masing-masing.

“Teknologi video dalam talian juga boleh digunakan bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat yang ingin mengambil bahagian dalam perbahasan tanpa berada secara fizikal di dalam dewan. Peraturan Mesyuarat juga perlu dipinda bagi tujuan di atas,” ujarnya lagi.