Malaysia Dateline

Tiada solat sunat Aidilfitri seperti kebiasaan di Pulau Pinang Syawal ini

Solat sunat Aidilfitri seperti lazimnya dilaksanakan di masjid dan surau sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini hendaklah dilaksanakan di rumah masing-masing tanpa khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian serta dibenarkan berjemaah dalam kalangan ahli keluarga rumah sahaja.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, turut menyatakan takbir hari raya di masjid dan surau hanya dilaksanakan oleh imam, bilal dan siak sahaja atau dengan menggunakan rakaman.

Tegas beliau lagi mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang telah bersidang baru-baru ini turut menyatakan adalah digalakkan setiap keluarga melaungkan takbir hari raya di rumah masing-masing sehingga sebelum solat sunat hari raya dilaksanakan.

Tambah Wan Salim lagi, takbir dari rumah ke rumah pada malam hari raya tidak dibenarkan dan pengendali stesen radio dan televisyen disarankan untuk menyiarkan rakaman takbir raya sedia ada dengan meletakkan kapsyen ‘rakaman ini telah dibuat sebelum tempoh PKP’.