Malaysia Dateline

Tiada tempoh masa ditetapkan untuk mangsa banjir ganti dokumen peribadi – JPN

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak memerlukan laporan polis daripada mangsa banjir yang mahu memohon penggantian dan pembaharuan dokumen peribadi seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran secara percuma.

Malah, menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, pihaknya juga tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk mangsa bencana itu menggantikan dokumen peribadi mereka.

“Mangsa banjir tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat penggantian dan pembaharuan dokumen sekiranya perlu menyelesaikan urusan peribadi yang lebih penting.

“Bagaimanapun, dinasihatkan agar mempercepatkan proses permohonan penggantian atau pembaharuan dokumen.

“Ia bagi melancarkan urusan seperti pembukaan sesi persekolahan dan perbankan yang memerlukan penggunaan dokumen seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan barangan kepada kakitangan JPN Terengganu yang terjejas banjir di Taman Desa Tanjung Damai, hari ini.