Tiada tindakan terhadap Dr Rani, kata Iskandar

Tiada tindakan terhadap Dr Rani, kata Iskandar

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Samad bersetuju agar calon Pas Sungai Besar, Dr Abdul Rani Othman pergi menyertai majlis pengisytiharan sokongan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap calon Amanah, Azhar Ab Shukur.

Oleh itu, tidak ada sebarang tindakan yang akan diambil ke atas Dr Rani ekoran tindakan beliau menyertai majlis yang memperlihatkan Azmin meminta pengundi memberikan sokongan secara terbuka kepada calon Amanah itu.

Lidah rasmi Pas, Harakahdaily melaporkan,  Naib Presiden PAS itu mengesahkan bahawa tiada sebarang tindakan diambil terhadap Dr Rani.

Beliau berharap agar orang ramai tidak percaya kepada berita yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp semalam mengatakan kononnya Dewan Ulamak PAS telah mengecam tindakan tersebut.

“Oleh kerana yang hadir itu adalah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, saya melihat bahawa tidak ada masalah berlaku. Dr Abdul Rani hadir sebagai calon dan juga Adun Meru; sama-sama untuk meraikan Menteri Besar.

“Ini adalah satu politik baharu yang dibawa oleh PAS. Kita telah berbincang sebelum itu dan berasakan bahawa calon kita patut pergi,” ujar Iskandar ketika sesi sidang media di Markas PAS Induk Simpang 5, Sungai Besar hari ini, lapor Harakahdaily.

Dr Rani menyertai majlis Iftar Perdana anjuran Pakatan Harapan yang menyaksikan Azmin selaku menteri besar dan timbalan presiden PKR mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Azhar kelmarin.

Tindakan Dr Rani itu dikecam oleh sebahagian ahli Pas seolah-olah beliau juga mengiktiraf calon Amanah ketika beliau juga adalah calon di situ ketika lain-lain pimpinan Pas terus menyerang Amanah termasuk sebagai parti ‘nanar’.

Dalam muktamar Pas di Kota Bharu awal Jun baru-baru ini, perwakilan ulama dari Selangor mempertikai pemilihan Dr Rani selaku calon kerana beliau didakwa sebagai harumanis iaitu di luarnya hijau (pas) dan di dalamnya oren (Amanah).

COMMENTS

Wordpress (0)