Malaysia Dateline

Tiada tindakan terhadap menteri cemarkan pengorbanan rakyat lawan COVID-19

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia kesal dengan keputusan Pejabat Peguam Negara yang memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi, Datuk Khairuddin Aman Razali.

Ketuanya Akmal Nasir berkata, Perikatan Nasional (PN) gagal membuktikan keprihatinan sebagai kerajaan, sebaliknya menguatkan lagi tanggapan terhadap PN sebagai kerajaan dua darjat.

Kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu, dalam keadaan Menteri Pas dibebaskan begitu sahaja, rakyat biasa yang melanggar arahan kuarantin pula dijatuhkan hukuman denda dan penjara.

“Sebagai contoh, dua hari lepas seorang juruteknik swasta dipenjara 14 hari dan didenda sebanyak RM1,000 selepas gagal mematuhi arahan menjalani kuarantin.

“Tindakan yang tidak adil ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh PN. Malangnya dengan kelemahan integriti dan kerakusan pangkat, lebih banyak ketidakadilan yang akan berlaku selepas ini.

“Bukan sekadar itu, Kerajaan PN hari ini telah pun mensia-siakan pengorbanan dan usaha Frontliners serta rakyat biasa melawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terkini, Peguam Negara (AG) memutuskan tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Khairuddin selepas tiga bulan kertas siasatan dibuka dan bertukar tangan antara pihak polis dan AG.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan berkenaan dirujuk kepada peguam negara dan memutuskan ‘No Further Action’ (NFA).

Khairuddin sebelum ini dilaporkan tidak menjalani kuarantin wajib sejurus pulang dari Turki Julai lalu.

Sementara itu Akmal berkata, rakyat terpaksa akur dengan arahan yang sering bertukar hampir sepanjang masa kerana adanya ugutan dan hukuman terpilih, namun hormat mereka kepada pemerintah semakin menghilang.

Tambahnya, ketika seluruh negara berhadapan dengan kesengsaraan ekonomi, kehilangan pekerjaan dan tiada tempat tinggal, PN sanggup lakukan apa sahaja demi kekal berkuasa untuk kepentingan peribadi.

“Ini amat merisaukan jika cengkaman ini dibiarkan, maka akan terbentuklah pemerintah yang zalim dek kerana amalan hukum bukan berdasarkan undang-undang saksama (rule of law).

“Tetapi mengikut selera kedudukan dan pangkat, layanan media terpilih dan pelbagai lagi, sedangkan nasib rakyat kebanyakkan tidak dihiraukan,” katanya lagi.