Malaysia Dateline

Tiada tokoh besar bukan halangan AMANAH Pulau Pinang membela nasib rakyat

Ketiadaan tokoh atau nama besar dalam kepimpinan baharu AMANAH Pulau Pinang bukanlah menjadi halangan barisan kepimpinan baharu itu menjadi satu pasukan padu dalam usaha membela nasib rakyat di negeri itu.

Dr Zaidi Zakaria

Naib Pengerusi 1 AMANAH Pulau Pinang Dr Zaidi Zakaria berkata, keputusan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof melepaskan jawatan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang dalam pemilihan lepas, meninggalkan satu kelompangan besar kepada AMANAH negeri itu.

Ini susulan kepimpinan baharu AMANAH Pulau Pinang kini diketuai oleh seorang mantan pensyarah kejuruteraan, Profesor Madya Dr Roslan Ahmad sebagai Pengerusi AMANAH Negeri dan dibantu aktivis masyarakat dan kemanusiaan.

Berbanding kepimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH) negeri itu, yang terdiri dikalangan Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Menteri.

Katanya lagi, meskipun tiada tokoh atau nama tersohor di negeri itu, kepimpinan AMANAH Pulau Pinang yakin barisan kepimpinan baharu yang seimbang dikalangan aktivis politik dan masyarakat, mantan pemimpin NGO dan kemanusiaan, ulama, mantan pegawai kerajaan, golongan pendidik dan profesional akan bersama menyumbangkan tenaga dan usaha dalam muafakat PH di negeri itu.

Dr Zaidi yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Pulau Pinang turut berkata, walaupun hanya pasukan Novis (individu yang tiada pengalaman memimpin), namun katanya lagi, dengan semangat berpasukan dan muafakat barisan kepimpinan baharu Novis ini akan menggembeling tenaga dan usaha bagi meneruskan perjuangan membela nasib rakyat.

“Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang atau kejayaan cemerlang, tapi kami akan berusaha bersungguh-sungguh serta melakukan yang terbaik semaksima mungkin sebagai satu pasukan yang berpegang pada prinsip ‘Bersatu dan Bermuafakat’ sebagai teras pasukan novis ini.

“Ia juga boleh diibaratkan seperti kata bidalan Melayu, ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’ maupun perumpamaan ‘Bulat Air Kerana Pembetung, Bulat Manusia Kerana Muafakat’.

“AMANAH Pulau Pinang bersedia untuk menjadi rakan komponen PH di Pulau Pinang serta ingin ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dalam arus politik Pulau Pinang khususnya dan nasional amnya,” jelas beliau.