Malaysia Dateline

Tiada toleransi bagi pertubuhan gugat keharmonian negara, kata Bersatu

Kerajaan digesa supaya tidak toleransi dengan mana-mana pertubuhan yang cuba menggugat keharmonian kaum dalam negara ini, kata Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tasik Gelugor, Azmi Alang.

Jelasnya, tindakan melampau Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang membantah seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu, Tahun Empat pada tahun hadapan membuktikan bahawa mereka tidak menjurus kearah perpaduan nasional.

Azmi Alang

Sebaliknya kata Azmi lagi, Dong Zong hanya mementingan suku dan kaum mereka semata-mata tanpa memberi tumpuan terhadap penerapan penyatuan nasional sejak di peringkat sekolah rendah lagi.

“Kenyataan Perdana Menteri bahawa Dong Zong adalah rasis dan perkauman seharusnya tidak dipandang ringan.

“Tun adalah seorang pemimpin yang dapat membaca riak dan telahan Dong Zong yang senantiasa mengutamakan kepentingan suku dan kaum mereka sahaja.

“Persatuan sedemikian sebenarnya tidak sesuai untuk dibiarkan wujud dalam negara ini yang mempunyai masyarakat majmuk,” ujarnya ketika ditemui.

Malah tambah Azmi lagi, seharusnya Dong Zong menerima cadangan oleh pihak Kementerian Pendidikan mengenai pengenalan tulisan khat yang merupakan salah satu seni budaya yang tidak rugi untuk dipelajari.

Katanya, masyarakat Melayu juga mahu anak-anak mereka mempelajari kepelbagaian seni dan budaya sebagai penambahan ilmu pengetahuan.

Justeru itu sarannya, tulisan khat dan jawi tersebut adalah salah satu seni yang tidak merugikan sesiapa sepertimana mempelajari kaligrafi tulisan Cina dan sebagainya.

Oleh kerana itu ujarnya, Dong Zong harus bersikap terbuka dan tidak mengamalkan fahaman sempit dan cauvanis yang hanya mementingkan diri sendiri dalam masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.

“Kerajaan harus tegas dan tidak memberi muka kepada mana-mana persatuan atau pertubuhan yang cuba menggugat keharmonian kaum dalam negara ini.

“Tidak kiralah siapa yang memimpin pertubuhan tersebut, seandainya ketara dan terserlah kebiadapan mereka sehingga mampu memberi impak negatif kepada negara, sewajarnya ia diambil tindakan.

“Pendaftar Pertubuhan atau ROS wajib tegas dan tidak bertolak-ansur dalam isu ini kerana kegagalan mengawal tindakan melampau tersebut akan memberi kesan yang akan merugikan negara dalam pelbagai aspek dan sektor, ” katanya.