Malaysia Dateline

Datuk Seri Azlan Man

Tiada tunggakan cukai tanah FGV, kata MB Perlis

Felda Global Ventures Perlis Sdn Bhd (FGV) tidak mempunyai sebarang tunggakan cukai tanah di negeri inisetakat 2016, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata FGV memegang hak milik tanah di Mukim Chuping di Padang Besar seluas 100.3 hektar dengan jumlah cukai tahunan yang perlu dibayar kepada Pihak Berkuasa Negeri adalah sebanyak RM6,336 setahun.

Bagaimanapun pihak syarikat berkenaan masih belum membuat bayaran cukai tanah bagi tahun 2017 berjumlah RM6,842.90 termasuk bayaran denda lewat, katanya menjawab soalan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, hari ini.

Kepada soalan Datuk Sabry Ahmad (BN-Santan) berkenaan notis dan tindakan Jabatan Tanah dan Galian Perlis (PTG)

berkenaan pelanggaran syarat tanah, beliau berkata sehingga 17 Julai tahun ini sebanyak 183 permohonan ubah syarat tanah telah diterima.

“Daripada jumlah itu sebanyak 75 permohonan ubah syarat telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bakinya masih dalam tindakan PTG.

“Ia selaras dengan Program Pemutihan Pelanggaran Syarat selama satu tahun bermula 15 Oktober 2016 sehingga 15 Oktober 2017 di mana sepanjang tempoh itu, insentif galakan diberi iaitu diskaun 90 peratus ke atas denda pelanggaran syarat bagi permohonan ubah syarat tanah,” katanya.

Sementara itu, Azlan berkata tindakan saman tidak dikenakan terhadap Lembaga Pengarah syarikat Putra Palace Sdn Bhd susulan kelewatan syarikat itu mengemukakan penyata bulanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)

atas kekangan teknikal iaitu syarikat masih melakukannya secara manual kerana belum mampu membeli sistem USB-GST.

“Masalah itu juga disebabkan proses pengambilalihan operasi hotel semasa perjanjian pajakan dengan pihak ketiga. Denda tersebut telahpun dibayar oleh Putra Palace dan tiada sebarang tindakan terhadap tiga ahli lembaganya,”katanya menjawab soalan Chan Ming Kai (PKR- Indera Kayangan).