Tidak semua penghibur akan kekal berada dalam industri seni selamanya, akan tiba muka baru untuk menggantikan tempat dalam menghiburkan orang ramai.
Maka tak terkejutlah para selebriti mula mengeluarkan produk sendiri dan menggunakan platform media sosial untuk menjual barangan.
Buat penyanyi popular era 90-an, Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Shima memilih menyanyi secara langsung menerusi aplikasi TikTok untuk jana pendapatan.
Penyanyi berusia 55 tahun itu bebrbuat demikian selepas tidak mendapat undangan nyanyian di luar lapor Kosmo.
“Setiap malam jika ada kelapangan saya akan buat live di TikTok. Saya anggap live di TikTok sebagai satu pekerjaan dengan menghiburkan pengikut dan mereka akan memberi ‘gift’.
“Tidaklah kaya pun sebab saya hanya menyanyi bukan menjual barang. Saya mencari rezeki di situ. Alhamdulillah dapat membantu saya menjana pendapatan.
“Lepaslah untuk saya beli keperluan harian seperti ikan dan lampin pakai buang. Saya seronok dan bersyukur bukan saya sahaja tetapi ramai rakan-rakan seangkatan juga aktif di platform ini,” ujar Shima seperti dipetik Kosmo.
Pernah berniaga satu ketika dahulu namun disebabkan faktor kesihatan dan bergantung dengan ubat maka sukar untuk melakukan kerja berat.
“Saya nampak okey tetapi sebenarnya tengah menanggung sakit.
“Dulu saya berniaga makanan tetapi disebabkan sakit tulang belakang (slip disc) doktor tidak menyarankan saya melakukan kerja-kerja yang berat,” kata Shima.
Pada masa sama dia turut meluahkan rasa kecewa dengan mesej mengajaknya untuk buat persembahan namun itu semua hanya janji kosong.
“Ada yang mesej di TikTok dan di WhatsApp untuk persembahan pentas tetapi semua hanyalah janji kosong.
“Saya tidak sukalah begitu, jangan beri harapan pada orang,” tambahnya.
Baca juga: Semua barang dalam rumah Datuk Seri Vida termasuk empat kereta mewah kena sita, apa dah jadi?