Tiada usul tolak PM, kata cawangan Umno di Perlis

Tiada usul tolak PM, kata cawangan Umno di Perlis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Umno Cawangan Behor Mali di Perlis menafikan ia telah mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang disebar di laman Facebook sejak semalam.

Ketuanya, Jasmi Johari menegaskan tiada sebarang usul dikeluarkan berkaitan perkara tersebut dalam mesyuarat cawangan itu semalam.

“Tidak ada usul undi tidak percaya disuarakan sepanjang mesyuarat semalam, sebaliknya ucapan seorang ahli semasa penangguhan semalam mungkin telah menimbulkan salah faham.

“Saya tidak menyangka ada ahli yang tidak jelas dan bercerita sesama mereka di luar mesyuarat dan kemudian telah dimuat naik ke Facebook oleh pihak lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Beliau mengulas berita yang tersebar semalam dalam kalangan sebilangan ahli Umno Cawangan Behor Mali di kawasan Parlimen Kangar, berhubung kononnya terdapat usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Najib.

Jasmi berkata beliau menyedari penyebaran berita berkenaan sejak semalam dan memandang serius perkara itu serta telah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab melakukannya.

“Saya meminta semua ahli Umno Cawangan Behor Mali agar dapatkan maklumat sahih tentang apa juga perkara yang dibincangkan atau apa sahaja maklumat berkaitan parti sebelum hendak bercerita atau menyebarkannya,” katanya.

Jasmi turut menegaskan pendirian cawangan itu adalah selari dengan UMNO Bahagian yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang teguh menyokong kepimpinan Najib.

“Justeru sebarang isu yang timbul hanyalah cakap-cakap yang tidak berasas dan luahan yang diutarakan pihak tertentu sahaja, tidak mempunyai sebarang kaitan mahupun mewakili pendirian cawangan,” katanya.

TAGS