Malaysia Dateline

Tiada usul undi tidak percaya, PH beri amaran keras buka ruang perbahasan

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi amaran keras kepada kerajaan Perikatan
Nasional (PN) agar menghentikan pencabulan institusi demokrasi negara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan bersama PKR, AMANAH dan DAP, hari ini, kerajaan PN perlu membuka ruang perbahasan dalam sidang Parlimen akan datang.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun telah menzahirkan titah pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda telah menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, majlis itu turut menegaskan titah pandangan Seri Paduka Baginda senada dengan aspirasi rakyat yang mahu pengakhiran kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara pada masa ini.

PH juga berkata, tiada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan walaupun blok kerajaan mempunyai hanya 77 kerusi manakala blok pembangkang menguasai 143 kerusi Parlimen.

“Demi menjunjung titah pandangan Tuanku ini, Ketua Pembangkang telah pada 12 Julai menghantar usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Tuanku.

“Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh PH yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Oleh itu, PH mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan PN agak tidak derhaka terhadap titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab murni mereka membela hak rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.