Malaysia Dateline

Tiada wabak penyakit berjangkit akibat banjir di Sarawak

Tiada kejadian wabak penyakit berjangkit akibat banjir dilaporkan di Sarawak setakat ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim menerusi kenyataannya di Kuching hari ini berkata, setakat ini tiada kejadian wabak penyakit berjangkit dilaporkan berlaku di kawasan-kawasan dilanda banjir di negeri ini.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JPN) Sarawak akan terus membuat pemantauan kejadian penyakit berkaitan banjir seperti penyakit bawaan air dan makanan, kencing tikus (leptospirosis), melioidosis dan konjuntivitis di semua fasiliti kesihatan diteruskan secara harian.

Malah,jelasnya aktiviti-aktiviti kawalan dan pencegahan kesihatan persekitaran turut dijalankan termasuk aktiviti semburan lalat dan disinfeksi serta pemusnahan tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes.

“Kita turut mengadakan aktiviti-aktiviti pendidikan kesihatan seperti ceramah kesihatan dan edaran risalah berkaitan juga telah dijalankan.

“Di samping itu kita juga mengambil maklum berkaitan kejadian banjir telah melanda negeri ini sejak 28 November 2019,” ujarnya.

Kata Dr Jamilah,sehingga 10 Disember 2019, sebanyak empat Bahagian iaitu Miri, Limbang, Bintulu dan Kuching telah terjejas akibat banjir sekali gus melibatkan masing-masing dua daerah di Miri dan Bintulu dan masing-masing satu daerah di Limbang dan Kuching.

Beliau menambah, sebagai langkah pencegahan berikutan kejadian banjir di beberapa tempat di negeri ini sejak beberapa hari lalu, JPN Sarawak membuat pemantauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dijalankan setiap hari sejak dari hari pertama pembukaan Pusat Perpindahan Sementara (PPS).

“Untuk itu,pasukan Perubatan dan Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat dengan kejadian banjir telah memberikan perkhidmatan rawatan dan pencegahan.

Pada masa sama,katanya sebanyak 10 buah fasiliti kesihatan telah terjejas iaitu lima di Bintulu, empat di Miri dan satu di Limbang.

“10 buah fasiliti kesihatan itu dinaiki air yang terletak dalam kawasan fasiliti kesihatan manakala sebuah lagi fasiliti dinaiki air di dalam bangunan klinik.

“Namun perkhidmatan di semua fasiliti kesihatan yang dinaiki air ini tidak terjejas dan masih beroperasi seperti biasa” katanya.

Beliau turut memberitahu kejadian banjir boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia dengan kejadian penyakit berjangkit mudah berlaku semasa dan selepas banjir.

Justeru,kata beliau lagi JKN Sarawak menasihatkan agar orang ramai sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan terutamanya mengelak bermain air banjir jika mempunyai luka atau masalah kulit.

Katanya,langkah penjagaan kesihatan itu penting bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit kencing tikus (leptospirosis) dan melioidosis yang boleh merebak melalui air tercemar.

Selain itu,tambah Dr Jamilah orang ramai juga perlu menggunakan alat pelindung diri seperti kasut/but getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan khususnya jika melibatkan banjir lumpur.

“Orang ramai digalakkan meminum air yang telah dimasak serta makan makanan yang bersih dan selamat bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan gastroenteritis akut.

“Malah penjagaan kebersihan diri adalah penting iaitu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan serta selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan,” jelas beliau lagi.