Malaysia Dateline

Tian Chua ditampar, Dr Afif dijerkah sebagai ‘pengkhianat’

Berang dengan sikap sebahagian pemimpin PKR yang berpaling tadah sehingga menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, penyokong parti itu sudah tidak dapat lagi membendung rasa marah mereka.

Naib Presiden PKR Tian Chua diserbu puluhan penyokong PKR dan ditampar selain dibaling botol minuman dalam kejadian di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, sebentar tadi.

Penyokong PKR terbabit berang dengan Tian Chua yang dilihat menyokong kem bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam masa sama, Tian Chua turut dijerit dengan gelaran ‘pengkhianat’ ketika mahu meninggalkan pejabat parti selepas mesyuarat.

Di lokasi sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan Setiausaha PKR Selangor Mohd Razlan Jalaluddin turut diserang kumpulan penyokong PKR.

Kedua-dua pemimpin itu dijerkah oleh kira-kira 50 penyokong berkumpul di hadapan ibu pejabat PKR itu dengan panggilan ‘pengkhianat’ dan ‘sial’.

Bagaimanapun, kekecohan selama 10 minit itu berjaya dikawal beberapa individu dari kumpulan otai reformis.

Puluhan penyokong PKR menyerang Tian Chua dan menggelarkannya pengkhianat.