Tian Chua kesal Mahathir tidak ambil iktibar tercetusnya gerakan Reformasi

Tian Chua kesal Mahathir tidak ambil iktibar tercetusnya gerakan Reformasi

Pada ketika Pakatan Harapan sedang mengumpul seluruh kekuatan dan membina momentum untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, sesetengah pihak akan terus berusaha membangkit isu-isu yang berniat menyemai rasa syak wasangka untuk memecah kesepakatan di kalangan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua berkata, niat taktik ini adalah untuk mengalih pandangan rakyat dari isu-isu besar dalam politik dan ekonomi yang sedang dihadapi negara.

Tindakan membangkit semula tohmahan dan dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah usaha terdesak untuk membunuh watak beliau.

“Saya kesal dengaan keputusan Dr Mahathir untuk menjawab soalan diajukan kepadanya.

“Penangkapan DS Anwar pada 1998 yang diikuti dakwaan dan sabitan berkait rasuah dan liwat telah membangkitkan kemarahan rakyat malah juga di seluruh dunia.

“Sabitan-sabitan tersebut telah dikutuk secara meluas sebagai usaha penipuan dan hasil daripada proses kehakiman yang lompang.

“Bukan DS Anwar sahaja yang teraniaya; beribu-ribu orang yang telah mengambil bahagian dalam perhimpunan aman telah ditindas. Ramai aktivis telah ditangkap dan ditahan.

“Kezaliman-kezaliman inilah yang menjadi pencetus kepada pergerakan Reformasi,” ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir, pada 21 November dalam sesi soal jawab secara langsung menerusi facebookknya, telah secara tidak sengaja dakwa Tian Chua, bahawa Dr Mahathir terkena perangkap musuh politik apabila diminta komen berkenaan satu dakwaan palsu yang dibuat terhadap DS Anwar pada 1998.

Bekas perdana menteri itu menjawap soalan daripada pengerusi Kumpulan Multimedia Thailand, Suthichai Yoon yang menyoal sama ada Dr Mahathir menyesal memperlakukan Anwar seperti yang dilakukannya.

Dr Mahathir  sekali lagi mempertahankan keputusannya untuk memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau “bertindak mengikut situasi ketika itu” walaupun dirakamkan pernah berkata bakal penggantinya ketika itu dari segi moral tidak layak memimpin negara.

Kata Tian Chua lagi, pengalaman perit yang dialami negara pada ketika itu, ujarnya, perlu menjadi iktibar dan peringatan bahawa institusi-institusi perlu direformasi.

“Kini kita sedar bahawa kelemahan institusi-institusi penting telah membolehkan salah guna kuasa dan pelanggaran hak asasi manusia terhadap begitu ramai pejuang, khusus DS Anwar.

“Walaupun kita mungkin di landasan politik berbeza suatu ketika dahulu, saya tetap menghargai kesanggupan Tun Dr Mahathir untuk mengakui bahawa apabila seseorang itu memegang terlalu banyak kuasa, rasuah dan salah guna kuasa akan berleluasa.

“Beliau telah mengambil langkah yang cukup berani untuk bersama gerakan reformasi untuk menangani krisis yang dialami negara akibat kepimpinan yang korup dan kleptokratik.

“Kita ada matlamat bersama iaitu untuk mengubah kepimpinan yang korup ini, untuk mereformasi institusi-institusi demokrasi kita, dan untuk memperbaiki sistem politik yang rosak. Saya harap semua pimpinan dalam perjuangan ini akan lebih prihatin dan mengelak dari terperangkap dalam isu-isu yang menguntungkan musuh politik kita.

“Marilah kita memberi fokus kepada cabaran-cabaran yang dihadapi negara serta menunjukkan kepimpinan yang benar-benar mampu membawa rakyat ke arah Malaysia yang lebih baik,” ujarnya.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS