Malaysia Dateline

Tian Chua nafi wujud pergeseran dengan Anwar

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menafikan wujud pergeseran antara beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden parti itu.

Menurutnya, sebagai pemimpin kanan dalam parti beliau juga berperanan sebagai orang kanan kepada Anwar.

“Saya tidak ada perselisihan dengan Anwar malah kalau ikut kedudukan dalam parti saya adalah pimpinan kanan dan ini juga boleh dianggap sebagai orang kanan Anwar selagi beliau adalah Presiden.

“Jadi, saya tidak nampak sebenarnya ada pergeseran (dengan Anwar). Dalam parti politik dan juga perjuangan, perbezaan pendapat itu adalah perkara biasa.

“Sebenarnya apa yang saya sangat hargai dalam budaya politik PKR hari ini adalah kita membenarkan dinamik perbahasan dan perbezaan pendapat. Bagi saya itulah kelebihan dan kekuatan PKR,” katanya ketika hadir sebagai tetamu Sinar Live ‘Cerita Lelaki Bernama Tian Chua’ di Dewan Karangkraf  seperti dipetik laporan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta moderator, Azlan Shah Nabees Khan untuk menjelaskan dakwaan yang mengatakan wujud pergeseran antara beliau dan Anwar.

Sebelum ini, Tian Chua dilihat lebih ‘mesra’ dengan kem bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan seteru kepada Anwar ketika ini.

Sementara itu, ditanya mengenai insiden beliau diserang sekumpulan individu di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Ahad lalu, Tian Chua berkata, beliau tidak berhasrat untuk memanjangkan perkara itu.

“Bagi saya ia merupakan satu insiden yang sangat dikesali. Saya juga telah dipanggil polis untuk memberikan keterangan tetapi bagi saya ia hanya perkara kecil.

“Banyak lagi perkara besar yang perlu diberi tumpuan dan lebih penting adalah tentukan hala tuju parti,” katanya.