Tiara rupanya ada masalah pembelajaran, Achey galak berniaga untuk asah ‘skill’ anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Anak perempuan pelawak, Achey iaitu Tiara berjaya menyita perhatian ramai baru-baru ini setelah kanak-kanak tersebut menceburi perniagaan makanan ringan.

Mendapat sambutan yang luar biasa, pemilik nama penuh Nur Tiara Zinnirah itu berhasil menjual 3,000 pek makanan di atas talian dalam tempoh dua jam sahaja.

Berniaga menerusi platform TikTok Shop milik bapa, kanak-kanak yang baharu sahaja berusia lima tahun itu menjual Tiara Botol Candy iaitu gula-gula pelbagai jenis.

Mengundang pelbagai perbincangan hangat, wujud segelintir individu yang bertindak menuduh Achey mengambil kesempatan untuk menjana pendapatan lumayan.

Tampil menjawab spekulasi, Achey menyangkal segala dakwaan yang dilemparkan orang ramai bahawa dia mempergunakan anak untuk kepentingan sendiri.

Achey nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah menjelaskan bahawa perniagaan itu dimula untuk mencungkil kelebihan dan kemahiran dalam diri Tiara sejak usia muda.

Hal ini kerana, anak gadis kepada pelawak yang berusia 37 tahun itu rupa-rupanya adalah seorang kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran.

Memetik laporan Mstar, Achey berharap agar ilmu dan minat anaknya di dalam perniagaan akan mampu membantu kanak-kanak itu pada masa hadapan.

“Saya beritahu awal-awal, Tiara seorang kanak-kanak yang agak perlahan dalam pembelajaran. Tetapi saya yakin dia boleh belajar.

“Cuma saya dan isteri perlu lebih berusaha untuk mengajarnya di rumah. Saya juga mahu mengikut apa yang dia minat.

“Saya percaya minat (dalam perniagaan) ada kelebihan kepada masa depannya nanti (dari segi kewangan),” katanya memetik Mstar.

Walaupun percaya bahawa ilmu pelajaran juga penting, namun Achey enggan membebankan atau memberi sebarang tekanan kepada Tiara disebabkan oleh masalahnya itu.

Oleh sebab itulah Achey memberi galakan kepada kanak-kanak itu untuk berniaga kerana kemahiran tersebutlah yang akan membantunya suatu hari nanti.

“Saya percaya kalau anak-anak terapkan pengalaman yang dia ada termasuk pembelajaran yang diajar, saya rasa hasilnya akan jadi lebih baik.” Ulasnya.

Baca juga: “Nasib baik tak kena dada” – Wau bulan tertusuk dekat cermin kereta, pemuda sempat lari keluar