Tiba masa FAM fokus majukan bola sepak, kata Pemuda Amanah

Tiba masa FAM fokus majukan bola sepak, kata Pemuda Amanah

Pemuda AMANAH Nasional menyeru kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneliti semula sejauh mana usaha memperkasakan kecemerlangan prestasi sukan tersebut diberi keutamaan sempena Kongres Ke-53 pada 25 Mac ini.

Pengarah Biro Sukan, Kesenian dan Kebudayaannya, Muriza Hazrul Abdul Muhi berkata, rata-rata peminat bola sepak tanah air khususnya golongan muda sudah bosan dengan kerenah dan campur tangan pihak atasan yang tidak membantu menjayakan matlamat penubuhan badan induk bola sepak itu.

“Bukan rahsia lagi FAM yang bertanggungjawab penuh dalam pengurusan dan pentadbiran bola sepak negara diselubungi pelbagai kelemahan dan isu dalaman sekaligus menghilangkan fokus memajukan mutu bola sepak negara termasuk dalam aspek teknikal juga pembangunan belia untuk semua peringkat usia.

“Rakyat juga tertanya-tanya sejauh mana penglibatan orang politik dan kerabat diraja dalam FAM selama ini benar-benar menangani masalah-masalah berbangkit atau adakah lebih banyak merencat program pembangunan bola sepak di Malaysia?” soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas pemilihan Presiden FAM yang menyaksikan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa berentap dengan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau berkata, rakyat sebenarnya mahu melihat perubahan struktur dan pentadbiran pasukan bola sepak yang menyumbang kepada hasil positif.

“Sekian lama wujudnya FAM, mustahil tiada seorang pun bekas pemain bola sepak tanah air yang berpengetahuan luas mengenai sukan itu agar boleh menyumbangkan pengalaman mereka mengelecek bola di padang untuk mengemudi atau dilantik dalam pimpinan tertinggi FAM.

“Kredibiliti Annuar untuk dicalonkan sudah tentu terjejas ekoran bersabit dengan kes Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga tugasnya sebagai Pengerusi digantung.

“Kemenangan TMJ (Tunku Mahkota Johor) pula nanti pada jangka panjang dibimbangi akan mengekang suara atau teguran membina bagi memantapkan FAM seterusnya pencapaian bola sepak tanah air memandangkan kedudukannya sebagai orang istana,” ujar Muriza lagi.

Untuk rekod, TMJ membawa JDT menjadi juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2015 dan satu-satunya pasukan setakat ini yang lulus perlesenan kelab oleh AFC.

Sementara itu, Annuar pula dianggap penyelamat Kelantan apabila menyelamatkan The Red Warriors (TRW) daripada menarik diri dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2017 dengan bersetuju menjadi penaja utama pasukan tersebut.

TAGS