Malaysia Dateline

Tiba masa Kabinet bayangan dipertimbang

Ramai yang bersikap sinis ketika pembentukan Kabinet bayangan dicadangkan kepada pembangkang. Konsep ini tidak asing untuk negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti United Kingdom, membariskan pembangkang untuk semak imbang yang lebih profesional dan berkesan dalam dewan perundangan.

Namun, ia diperlekehkan di Malaysia, atas alasan ia tidak realistik kerana bakal mencetuskan perselisihan sesama pembangkang sebelum pilihan raya umum.

Barangkali, tiba masanya kita menilai semula alasan ini, sejajar dengan perubahan senario politik terkini.

Pertama, pertukaran kerajaan Persekutuan telah berlaku dalam sejarah politik tanahair. Dengan kata lain, ia bukan lagi sesuatu yang “terdesak” untuk dicuba, bagi pengundi yang sekian lama diperintah di bawah Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

Malah, pengundi telah melalui sendiri pemerintahan di bawah BN, Pakatan Rakyat dan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh empat tahun kebelakangan.

Wawasan yang dilakar, mahupun janji yang ditaburkan, tidak lagi melekat sebagaimana dahulu pada pengundi yang telah memiliki pengalaman tersendiri di bawah kerajaan yang berbeza.

Kedua, setiap parti politik utama juga memiliki pengalaman memerintah, lantas menyedari batas kekangan ketika memegang kuasa.

Pakatan Harapan (PH) sedar beberapa janji yang idealistik dalam Buku Harapannya sukar ditunaikan, sementara Pas sedar kritikannya berapi-api hanya ketika menjadi pembangkang, di samping Umno sedar (sungguhpun segan mengaku) bahawa zaman dominasi parti tunggal telah berakhir.

Malah, parti pemerintah terpaksa menandatangani memorandum persefahaman dengan pembangkang demi kestabilan politik. Situasi saling bergantungan, atau kerjasama antara parti politik telah mengaburi sempadan yang membezakan mereka sebelum ini.

Dengan kata lain, parti politik berdepan dengan kesukaran untuk menonjolkan keunikan masing-masing.

Bertitik tolak dari latar belakang ini, apa keistimewaan dan kelebihan yang ada pada PH, berbanding BN mahupun PN?

Rakan saya yang juga seorang pensyarah universiti tempatan, melontarkan persoalan di atas dalam satu webinar baru-baru ini.

Umno atau Pas mungkin menonjolkan “kemelayuan”-nya berbanding PH, tetapi rakan panel saya mencadangkan, agar PH menonjolkan diri sebagai kerajaan yang lebih cekap berbanding BN mahupun PN.

Apa tidaknya, setelah mengalami kemelut lantaran penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir, kita menyaksikan sendiri bagaimana satu Malaysia boleh menjadi mangsa di bawah sebuah kerajaan yang tidak cekap – tidak kira warna kulit dan agama. Kita SEMUA, ya, semua menderita akibat ketidakcekapan kerajaan menguruskan krisis tersebut.

“Mungkin rakyat Kelantan tidak meletakkan kecekapan kerajaan sebagai keutamaannya, tetapi belas kasihan adalah unsur yang penting dalam agama. Pemimpin Pas tidak bertimbang rasa apabila memperlekehkan kempen bendera putih. PH harus menonjolkan dirinya sebagai kerajaan yang cekap, dan berbelas kasihan!” katanya.

Saya melihat cadangan ini antara jalan keluar yang harus dipertimbangkan PH. Cabarannya, bagaimana konsep “kerajaan cekap” ini diperlihatkan secara visual?

Lantas “Kabinet bayangan” terlintas dalam otak saya. Kita boleh mempersendakan Rina Harun dengan seribu satu jenaka, namun semuanya akan meresap selepas kita ketawa terbahak-bahak.

Saya sedikit pesimis ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melabuhkan tirai kerana kita tidak merasai “ketidakpuasan terhadap kerajaan gagal” daripada statistik pengundian.

Saya kurang pasti apa punca di sebaliknya, kerana PRN Melaka berlaku selepas satu Malaysia dibadai gelombang Covid-19 berkali-kali lantaran ketidakcekapan Kabinet sedia ada yang hampir sama wajah menterinya, kecuali ditukar tempat duduk.

Jadi, mungkinkah situasi akan berbeza andainya PH menonjolkan calon Menteri Wanita dan Keluarga-nya, daripada sekadar menyindir menteri ber’waterjet’kan tahi cicak ini?

PH harus menawarkan alternatif, kemudian memahat persepsi itu dalam minda pengundi, bahawa prestasi PH akan lebih baik berbanding yang lain, jikalau diberi mandat untuk memerintah.

Dr Maszlee Malik antara pemimpin PH yang memainkan peranan beliau dengan baik dalam hal ini. Sungguh pun tidak kurang kritikan yang dilontarkan terhadap Maszlee ketika menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tetapi beliau tampil sebagai mantan menteri pendidikan yang lebih cekap berbanding Dr Radzi Jidin.

Maszlee terus menumpukan fokusnya terhadap isu pendidikan, dari Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hinggalah nasib pengusaha kantin sekolah – sekurang-kurangnya kakitangan KPM, dan semua yang terkesan dengan dasar KPM, dapat membezakan kebolehan antara Maszlee dengan Radzi.

Dengan kata lain, tidak cukup sekadar mempersoalkan di mana Abdul Latiff Ahmad, Hishammuddin Hussein ketika banjir melanda, tetapi calon Menteri NADMA, Menteri Pertahanan PH harus bertindak tangkas, sekurang-kurangnya mengeluarkan kenyataan tentang apa yang harus dilakukan segera oleh kementerian berkenaan, memberi gambaran bahawa inilah reaksi Kabinet PH andainya berkuasa.

Rakyat boleh membuat perbandingan, berapa nyawa yang boleh diselamatkan pada saat-saat genting itu, andainya Malaysia memiliki sebuah kerajaan yang cekap?

Seperkara lagi, menurut pengamatan rakan panelis saya, pengundi lebih mengutamakan calon daripada parti selepas melalui kemelut politik lantaran “Langkah Sheraton”.

Jikalau dahulu mereka memangkah mengikut logo parti, kerana itu satu-satu caranya menukar kerajaan, kini mereka memilih calon kerana kerajaan boleh bertukar tanpa pilihan raya.

Kualiti, perkhidmatan dan kredibiliti seseorang calon di konsituensi lebih penting, dan semuanya memerlukan lebih masa untuk dibina dan dibuktikan.

Ringkasnya, PH berdepan dengan cabaran menyusun semula barisan pimpinannya, membariskan pasukan Kabinetnya, dan menampilkan calonnya secepat mungkin.

PH harus keluar daripada bayangan “Langkah Sheraton”, selepas hampir dua tahun ia berlaku.

Ingat, PRU-15 akan berlangsung dalam masa setengah tahun, atau paling lewat pun setahun lebih sahaja. Masa tidak menunggu.