Malaysia Dateline

Tiba masa Mahiaddin “ajar” Umno tekan butang jatuhkan Ismail Sabri

Marah benar nampaknya Mahiaddin Md Yasin kepada bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad yang lancang mencabarnya untuk menumbangkan kerajaan negeri Johor.

Sehingga kerana terlalu marah itu terkeluar beberapa kali perkataan “bodoh” daripada mulutnya yang ditujukan kepada Shahrir berikutan cabaran tersebut.

Ini sungguh luar biasa, tidak pernah Mahiaddin berkelakuan begini marah sebelum ini.

Kelihatan Mahiaddin tampak sungguh berani, berbeza dengan wataknya ketika ada kuasa sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Kalaulah dulu beliau selalu berani begini, barangkali tidaklah hilang jawatan Perdana Menteri yang ada dalam genggamannya.

Tetapi, apa nak dikata, sayang seribu kali sayang, ketika ada kuasa dan jawatan sebagai Perdana Menteri, bertemu dengan media pun tidak pernah ada keberanian, apa lagi nak marah-marah begini.

Asyik-asyik paling berani dilakukannya hanyalah tampil dengan perutusan khas dan bercakap seorang diri di depan kamera saja.

Dicabar Shahrir, memang tidak salah dan hak Mahiaddin meluahkan rasa marahnya, tapi segala perlakuan berani yang ditunjukkannya itu sudah terlambat kini.

Kalau marah, garang dan tunjuk berani ketika masih pegang jawatan Perdana Menteri, mungkin ada juga faedahnya serta barangkali membuatkan tidak kurang orang jadi gerun atau tidak berani main-main dengannya.

Namun, tunjuk marah, garang dan berani setelah hilang kuasa, semuanya sudah tidak berguna apa-apa lagi.

Segalanya sudah terlambat, walau nampak garang mengatakan beliau bukan penakut serta melabel Shahrir sebagai “bodoh”, bahkan kononnya boleh menekan “button” bila-bila masa jika ingin menjatuhkan kerajaan negeri Johor sebagaimana dicabar pemimpin Umno itu, tetapi ternampak lebih ramai yang jadi sinis dan ketawa kecil saja dibuatnya.

Tiada sesiapa yang terkesan atau gentar dengan kata-katanya itu, sambil tidak kurang yang beranggapan marah serta garangnya terhadap Shahrir itu hanyalah “sembang kari” semata-mata.

Lebih ramai yang percaya Mahiaddin tidak akan berani berbuat apa-apa, meski beliau seperti kena buli secara berterusan dengan Umno.

Umno sebaliknya kini, terutama sejak berjaya menumbangkan Mahiaddin dan merampas kerusi Perdana Menteri, sudah lebih garang dan naik tocang jadinya perangai mereka.

Lihat saja bagaimana pemimpin-pemimpin Umno memperlekeh Bersatu, Mahiaddin dan pemimpin mereka yang lain dalam pelbagai isu dan dalam kempen PRN Melaka ini, walhal kedua-dua parti duduk bersama dalam kerajaan di peringkat pusat.

Nampak sangat Umno tidak menghargai kerjasama dalam kerajaan serta tidak mengenang budi Mahiaddin yang memberi laluan menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Ismail Sabri.

Begitu pun, jika Mahiaddin benar-benar marah kepada Shahrir yang mencabarnya itu, adalah lebih terpuji jika beliau jangan layan apa yang Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu kata terhadapnya.

Juga tidak tidak perlu beliau rasa tercuit dengan cabaran Shahrir untuk beliau menjatuhkan kerajaan negeri Johor.

Sebagai bekas Perdana Menteri, terlalu kecil sebenarnya untuk Mahiaddin melayan Shahrir yang kalah di Parlimen Johor Bahru hanya kepada seorang anak muda tidak ternama daripada PKR, Akmal Nasir dalam PRU-14 lalu.

Lawannya yang paling tepat ketika ini, sambil untuk “mengajar” Umno yang banyak naik tocang sejak dapat kuasa melalui pintu belakang ialah dengan segera menekan “button” bagi menjatuhkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri kalau menjatuhkan Perdana Menteri, barulah sesuai dan padan dengan marah berlevel kayangan yang ada dalam dirinya.

Dengan tindakan itu, barulah padan muka semua, malah dengan Shahrir sekali kemudiannya boleh “dibodohkan” kerana menjadikan Umno hilang kuasa dan jawatan Perdana Menteri dengan serta-merta.