Malaysia Dateline

Tiba masa rakyat ada manifesto sendiri

Apabila sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) menjelang tiba, menjadi kemestian bagi setiap parti politik atau
gabungan parti-parti politik yang bertanding untuk membentangkan manifesto masing-masing kepada rakyat.

Manifesto adalah satu bentuk tawaran dan komitmen kepada rakyat sebagai pengundi untuk dilaksanakan oleh
gabungan parti politik jika memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Telah terbukti bahawa ada sebahagian manifesto dapat dipenuhi, ada sebahagiannya yang langsung tidak dapat
dipenuhi dan hanya tinggal janji kosong apabila pemilik manifesto menjadi kerajaan. Mengapa ini terjadi?]

Ini kerana manifesto digubal kebanyakannya oleh ahli-ahli politik dengan tujuan menarik perhatian rakyat
agar mengundi mereka tanpa mengambil kira keperluan sebenar rakyat, realiti semasa serta prestasi kewangan
kerajaan sebelumnya.

Oleh itu, manifesto yang popular, menarik dan menyenangkan akan mudah diminati oleh rakyat walaupun
hakikatnya ia sukar dilaksanakan apabila sesebuah parti atau gabungan parti menjadi kerajaan.

Contohnya, ada parti yang menawarkan skim pembelian kereta dengan pinjaman tanpa faedah yang dibiayai oleh
kerajaan.

Melihat kepada kemampuan semasa kewangan kerajaan ditambah pula dengan krisis pandemik, walaupun tawaran ini menarik, ia sukar dilaksanakan dan parti itu pun tidak membangkitkannya lagi setelah menjadi kerajaan.

Sewajarnya sesuatu manifesto yang dibentangkan perlulah realistik dan memenuhi aspirasi rakyat.

Ia juga sepatutnya digubal bukan sahaja oleh ahli-ahli politik, bahkan seharusnya mengambil kira suara rakyat
bawahan. Pendek kata, daripada rakyat untuk rakyat.

Sehubungan itu, projek Manifesto Rakyat oleh Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Platform Pertubuhan
Masyarakat Madani untuk Perubahan (CSO Platform for Reform) dilihat sebagai satu inisiatif yang amat
signifikan bagi menggubal satu manifesto yang realistik dan mengambil kira input dan maklum balas terus
daripada rakyat.

Projek Manifesto Rakyat ini bakal menjadi satu anjakan paradigma baharu dan rujukan utama parti-parti
politik dalam menggubal manifesto mereka menjelang PRU nanti.

Menurut Pengerusi GBM, Badlishah Sham Baharin, manifesto ini berbeza dengan apa yang dikeluarkan oleh parti
politik kerana ia bermula daripada bawah atau rakyat berbanding manifesto parti politik ditulis daripada
atas iaitu parti politik.

“Tuntutan (manifesto) ini dapat membimbing pemerintah yang terpilih secara demokratik bagi memenuhi
tanggungjawab sosial mereka untuk memelihara semua lapisan masyarakat supaya
tidak ada yang ketinggalan,” jelasnya.

Tambah Badlishah, selepas input berkenaan diperoleh, satu ‘townhall’ atau majlis awam akan diadakan bagi
membincangkan perkara apa yang penting dan yang perlu dimasukkan dalam manifesto berkenaan.

Kata ahli sains politik, Dr Wong Chin Huat pula, daripada merungut pasal masalah-masalah yang dihadapi, kita
boleh menyumbang cadangan penyelesaian yang bernas kepada Projek Manifesto Rakyat.

“Dengan ini, manifesto bukan lagi helaian kertas yang penuh dengan janji kosong, tetapi perbincangan
bermakna dan jujur antara pengundi dan parti, dengan kesedaran pada semua pihak, kita perlu dan boleh
membuat pilihan terbaik antara dasar-dasar, sungguhpun tiada satu yang akan dapat memuaskan semua orang,”
jelasnya.

Projek Manifesto Rakyat ini sedang berlangsung selama tiga bulan bermula pada 11 Mei hingga 11 Ogos 2021 agar lebih banyak input rakyat dapat dikumpulkan.

“Kami berharap untuk memberi masa yang mencukupi agar semua rakyat berpeluang menyatakan suara hati mereka,” kata jurucakap projek Manifesto Rakyat, Dr Lim Chee Han.

Menurut beliau, Manifesto Rakyat bertujuan untuk mengumpul dan mewakili kepelbagaian rakyat Malaysia agar
suara mereka didengari untuk membina sebuah masyarakat dan negara yang harmoni, saksama dan progresif.

Sebanyak 27 tema polisi telah dibuka untuk menerima maklum balas dan cadangan daripada orang ramai, yang
akan disusun dalam tiga tonggak iaitu:

1. Perpaduan dalam Kepelbagaian/Bangsa Malaysia,

2. Mempromosi, menambahbaik dan mempertahan hak dan kebebasan masyarakat sivil, dan

3. Menuju ke arah masyarakat yang adil, saksama dan demokratik.

Antara polisi-polisinya termasuk Perpaduan Nasional, Kebebasan Bersuara, Keadilan Ekonomi, Pendidikan,
Kesihatan dan isu alam sekitar.

Tidak terkecuali isu Persempadanan Geografi seperti yang dianjurkan oleh mereka dari Malaysia Timur dan
Utara Semenanjung Malaysia.

Sebarang maklum balas boleh dihantar ke pautan http://bit.ly/ManifestoRakyat. Untuk maklumat lanjut, orang
ramai juga boleh melawat laman Facebook rasmi Manifesto Rakyat di pautan https://fb.com/ManifestoRakyat2021.

Kata Chee Han lagi, sesiapa yang membawa cadangan, jika suara mereka termasuk dalam manifesto, nama
pencadang itu akan tersiar atau terpapar dalam Manifesto Rakyat.

Oleh itu, sudah tiba masanya rakyat mempunyai manifesto sendiri. Nah, Manifesto Rakyat inilah peluangnya.

——————————
Penulis ialah Pegawai Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia