Tiba masanya orang Perak berbangga calon Perdana Menteri dari bumi Perak Darul Ridzwan

Oleh KIM SYAZIE

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menganggap calon perdana menteri yang datangnya dari bumi Perak kali ini merupakan pencapaian yang membanggakan.

Ini kerana katanya, rakyat Perak belum lagi mendapat seorang perdana menteri dari negeri itu walaupun pernah memiliki Ahli Parlimen dari Bagan Datuk selaku timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun Ahli Parlimen itu kini bergelut di mahkamah atas dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa, kata Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar.

“Bagi pihak Pakatan Harapan Negeri Perak, saya mengalu-alukan kedatangan Pengerusi PH Nasional iaitu Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Tambun.

“Pengumuman dibuat seiring dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia.

“Tiba masanya untuk orang Perak berbangga bahawa calon Perdana Menteri kali ini dari bumi Perak Darul Ridzwan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada masa sama Mujahid berkata, beliau dan seluruh pimpinan PH Perak beriltizam untuk memastikan hasrat ini tercapai dengan sokongan padu rakyat Perak.

Baginya, Parlimen Tambun adalah lambang untuk menebus perbuatan khianat mandat rakyat dari penyandangnya.

Katanya, sudah tiba masa daerah Tambun dan seluruh Parlimen bangkit menolak calon rasuah dan khianat dan memilih calon berintegriti dan berwibawa.