Malaysia Dateline

‘Tiba-tiba mereka mengaku PN bukan Umno’

“Tiba-tiba mereka mengaku PN bukan Umno,” luah Pemikir Parti Amanah Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkenaan dengan kenyataan dari bekas Menteri Besar Johor ke-15, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin semalam.

Menurutnya, kenyataan Khaled itu memperlihatkan bahawa Umno sedang melepaskan tangan dari pelbagai permasalahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.

Katanya, Khaled tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia boleh dikategorikan sebagai kenyataan yang penakut atau kalah sebelum berjuang.

“Sebelum ini Umno berdegar-degar memperjuangkan nasib melayu kononnya, namun bila kuasa sudah ditangan mereka mulalah mereka nak isytihar macam-macam.

“Ini strategi nak lepas tangan kerana sebelum ini mereka telah berjanji macam-macam untuk kononnya membangunkan rakyat dan hari ini mereka akui perkara itu adalah mustahil untuk ditunaikan.

“Mereka majoriti apa harus mereka menjadi penyemak dan pengimbang. Ini masanya Umno perlu mempamerkan diri mereka sebagai penunai janji yang terbaik bukan hanya pandai bercakap seperti sebelum ini,” tegasnya.

Mengulas lanjut perkara itu, Zuhan yang merupakan bendahari Amanah Johor berkata, sebelum ini Umno cukup hebat menuduh kerajaan PH munafik di sidang Dun dan kini adalah waktu yang terbaik serta menggambarkan diri mereka bukan munafik.

Tambahnya lagi, kenyataan Khaled itu amat menghampakan serta membunuh harapan rakyat khususnya orang Melayu.

“Ini masa yang sesuai untuk Umno sebagai majoriti di dalam PN menunaikan apa yang dikatakan oleh mereka. Soal semak dan imbang serahkan kepada pembangkang yang ada.

“Di Johor, MB Johor usah menarik diri dari menunaikan apa yang dikatakan sebelum ini. Inilah masanya segala janji kepada rakyat harus dilaksanakan.

“Masa yang sesuai untuk memartabatkan semula bangsa melayu dan Islam seperti yang dicanang sebelum ini. Tidak perlu menjadi penakut dengan menyatakan PN bukan Umno,” tegasnya lagi.