Malaysia Dateline

Tiba-tiba Pelan Muncul …. Ajaib

Petang 15 Jun 2021 benar-benar membuatkan penulis terkejut. Baru dua hari YAB Perdana Menteri memaklunkan bahawa satu Pelan Pemulihan Negara akan diluncurkan!

Tiba-tiba sehari sebelum berlangsungnya Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu, suatu yang dikatakan pelan meluncur dengan lajunya dipersembahkan oleh YAB Perdana Menteri.

Saya amat bersetuju dengan komentar Yang Berbahagia Tan Sri Rafidah Aziz mengenai keajaiban pelan yang tidak mempunyai strategi dan fasa perlaksanaan yang mantap di suapkan kepada rakyat.

Sebagai saintis yang telah terlibat merangka dan merencana pelbagai pelan, maka apa yang diluncurkan oleh PM bukanlah pelan tetapi lebih kepada agenda untuk cuba merayu dan memujuk sebelum berlangsungnya Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu.

Saya amat yakin kebawah Duli Tuanku Raja-Raja Melayu akan memutuskan demi untuk rakyat bukan terus untuk bersetuju dengan pelan yang diluncurkan secara tiba-tiba dengan penuh keajaiban.

Mana mungkin pelan yang amat penting bagi masa hadapan negara tidak dibentangkan dahulu di parlimen, dibahas dan didebatkan dan kemudian baharulah ia di murnikan untuk dilaksanakan secara kolektif tanpa mengira dari pehak pemerintah mahupun pembangkang.

Inilah ajaibnya pelan ini, tiada strategi dan tidak pula merangkumi sektro strategik negara! Pelan Pemulihan adalah pelan yang perlu dihayati dan dilaksanakan secara kolektif. Sebagai rakyat saya mahu wakil rakyat yang saya pilih membahaskannya dengan teliti dan detail sebelum kami rakyat bersama melaksanakannya.

Pelan ini tidak mengambil kira beberapa isu terlebih dahulu, antaranya:

1- Kelewatan pelancaran vaksin (vaccine rollour delay)
2- Pembaharuan hubungan industri (industrial relation reforms)
3- Kajian semula gaji tahunan (the annual wage Review)
4- Pendidikan dan latihan sebagai keutamaan pasca COVID-19 (Education and Training as a post COVID priority)
5- Gabungan perniagaan global (Global Bubusiness coalition)
6- Pembangunan dan transformasi industri (Industry development and transformation)

Sekiranya perkara ini tidak diambil-kira dengan sedalam-dalamnya maka pelan ini hanya akan tinggal pelan dan rakyat akhirnya akan merana dan sengsara! Isu kelembapan program vaksinasi atas apa jua alasan termasuk rantaian bekalan dari pengeluar vaksin serta isu strategi kesampaian vaksin keseluruh individu rakyat tidak boleh dipandang ringan.

Tanpa program vaksinasi yang efektif kita tidak akan ada peluang untuk membuka semula sampadan negara kepada pelabor, pekerja perkhidmatan berkemahiran tinggi untuk sektor industri, pelajar dan pelancong.

Mereka ini tidak akan menunggu lama tetapi akan memilih negara yang sempadannya telah dibuka dengan imuniti kelompok pada tahap tinggi. Sekiranya sempadan negara masih tidak dibuka disebabkan kelembapan dan kelewatan proses vaksinisasi maka kita akan kehilangan peluang perniagaan secara global.

Pelan yang diluncurkan tidak jelas dimana ruang dan strategi bagi pembaharuan hubungan industri (industry relation reforms). Adakah kerajaan hanya akan tertakluk kepada falsafah hubungan industri sebelum berlaku pandemik?

Atau adakah negara akan beranjak kepada pembaharuan hubungan industri atau berada ditakuk lama sahaja? Tiada jawapan bagi hal ini didalam pelan yang diluncurkan!

Bagi memberikan ruang merancakkan kembali aktiviti perniagaan, industri kecil dan sederhana dan membina semua peluang pekerjaan yang inovatif dan kreatif maka sesebuah pelan yang berjaya perlu memberi sentuhan kepada kajian semula pendapan tahunan.

Ini amat perlu bagi rakyat merancang semula ekonomi kehidupan yang telah tersentuh teruk akibat Covid-19. Ini juga tidak kelihatan dalam pelan yang telah diluncurkan.

Pendidikan dan latihan adalah merupakan perkara keutamaan yang akan memastikan daya tahan kemajuan dan kemampanan sebuah negara terutamanya setelah sesebuah negara menjadi lumpuh akibat pandemik yang melanda.

Setelah hampir 18 bulan institusi pendidikan disemua peringkat terumbang ambing, sebentar buka dan sebentar tutup, tanpa polisi yang jelas tentang strategi kerajaan dalam sektor pendidikan mengikut norma baharu ini.

Dasar dan strategi pendidikan bukan hanya untuk menentukan buka atau tutupnya institusi pendidikan tetapi untuk meneroka kaedah baharu untuk membinan kemahiran dan kebolehan baharu bagi industri dan syarikat merancang kejayaan sesingkat mungkin dan dimasa merancang pelan hadapan. Ini bagi menghasilkan produk yang seiring keperluan mendesak sektor perekonomian. Dimana ini didalam pelan pemulihan negara?

Apakah usaha-usaha untuk membentuk gabungan perniagaan global yang agresif dan bernafas panjang? Kalau setakat keluar negara mencari pelabrr dan kemudian mengambil batang penyapu untuk bergambar mencuci ruang masjidil haram bukanlah sesuatu yang akan menjana ekonomi masahadapan melainkan hanya retorik politik Pelan ini memerlu suatu pelunjuran yang efektif terkait dengan rangkaian perniagaan global. Apakah tawaran Malaysia terdapat pelaburan pasca Covid-19?

Apakah strateginya di dalam mencapai pelan pemulihan negara?

Akhirnya yang tidak kurang penting adalah strategi pembangunan dan transformai industri. Apakah keutamaan yang hendak diberikan dalam pelan pemulihan negara? Industri mana yang hendak dipulihkan mengikut keutamaan dan industri mana yang hendak ditranformasikan? Semua ini kelam, gelap dan malap didalam Pelan Pemulihan Negara?

Jika parlimen tidak dibuka segera dan sekarang untuk membahas dan mendebatkan serta dimurnikan maka pelan ini akan membuat negara kita ‘pelan-pelan’ (slowly) menuju kelumpuhan. Bukalah dan bersidanglah parlimen sesegera mungkin, mengapa perlu menunggu September? Melainkan ada suatu helah untuk melengah-melengah demi kekuasan!

———-

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan.