Tiba-tiba tidak lagi bertudung, Fazley Yaakob tampil buka mulut mengenai kesihatan mental Mawar Rashid

Oleh KIM SYAZIE

Selepas pelakon Mawar Rashid memutuskan untuk kembali tidak bertudung, abang iparnya iaitu cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob tampil buka mulut mengenai adik iparnya itu.

Memetik Utusan Malaysia, Fazley berkata, apa yang dia tahu pelakon itu mempunyai masalah tekanan mental yang serius.

Namun katanya, dia menghormati privasi adik iparnya itu dan tiada keperluan untuk dia memberi sebarang komen terhadap tindakan peribadi itu.

“Saya rasa semua pun sedia maklum dan Mawar juga sudah berulang kali memberitahu, dia mempunyai masalah kesihatan mental yang serius. Sebagai abang ipar, saya juga ambil maklum.

“Tetapi saya juga ada batas sendiri untuk tidak mencampuri secara teliti kehidupan mereka. Sekadar nasihat dan perhatian sebagai seorang abang.

“Kita doakan yang terbaik untuk Mawar dan Raf, hadapi ujian ini,”ujarnya.

Fazley juga mempertahankan tindakan Mawar, menganggap pelakon itu mempunyai sebab kukuh mengapa tiba-tiba bertindak sedemikian.

Semalam, Mawar yang juga seorang pelakon menerusi media sosialnya memuat naik gambar tidak bertudung dengan kapsyen yang mengundang persoalan warganet.

“Saya dah cuba, tetapi gagal. Maafkan saya,” tulis ibu kepada tiga anak itu.

Baca juga: “Saya cuba tapi gagal”, Mawar Rashid ucap selamat tinggal pada dunia ‘bertudung’