Malaysia Dateline

‘Tidak ada asas kukuh mengapa Raja-Raja Melayu perlu layan syor darurat’

Tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin menyifatkan Raja-Raja Melayu yang petang ini menghadiri mesyuarat khas amat maklum tentang betapa tidak popularnya keputusan Kabinet Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan darurat.

Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri itu menegaskan penularan jangkitan Covid-19 lebih banyak tertumpu di Sabah dan Pantai Barat Semenanjung terutama Lembah Klang.

Menurutnya, Raja-Raja Melayu pasti mendapati cadangan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak masuk akal dan akan membebankan lagi rakyat jelata jika mengkaji pola kes positif Covid-19.

“Sebagai contoh, atas alasan apa Raja Perlis hendak menyetujui alasan Covid-19 sebagai sebab mengisytiharkan darurat? Lihat carta. Negeri Baginda mencatatkan hanya 38 kes.

“Begitu juga dengan Sultan Terengganu yang negeri Baginda mencatatkan 166 kes sejak wabak ini bermula.

“Kelantan pun rendah dengan 178 kes, Melaka 308, Pahang 392, Perak 459, Pulau Pinang 754, Sarawak 780 dan Johor 852.

“Yang paling banyak kes adalah Sabah selepas pilihan raya negeri 26 September lalu. Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana kepadatan penduduk dan Kedah kerana jangkitan di penjara,” katanya.

Kadir yang juga bekas Penasihat Media dan Komunikasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat penularan Covid-19 di negara ini adalah terkawal berdasarkan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita ada 33 juta penduduk, jumlah kes 25,742 dan kematian 221. Switzerland dengan penduduk 8.5 juta mencatatkan 104,000 kes dengan 1,877 kematian,” hujahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan peranan Raja-Raja Melayu dalam isu tersebut amat penting kerana bakal menentukan sama ada cadangan darurat ini diterima, ditolak atau dipinda.

“Raja-raja bukan sahaja mendapat maklumat media arus perdana. Para Baginda juga mendapat maklumat daripada platform media sosial mereka sendiri.

“Saya perhatikan beberapa orang Raja Melayu cergas dalam media sosial. Jadi, tidak ada asas yang kukuh mengapa cadangan darurat harus dilayan,” hujahnya.

Jelasnya, hal paling penting pada masa ini bukan darurat atau menyelamatkan mana-mana kerajaan.

“Yang penting adalah mengawal penularan dan memudahkan rakyat jelata mencari makan,” kata Kadir lagi.