Malaysia Dateline

Wanita PH perkenal struktur kepimpinan baharu, ikrar 5 resolusi perkukuh jentera menangi PRU15

Wanita Pakatan Harapan hari ini menampilkan lima resolusi untuk terus memperkukuh jentera wanita dalam parti-parti gabungan Pakatan Harapan bagi memobilisasi gerak kerja memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Wanita PH, Soraya Salim berkata, antara lima resolusi tersebut termasuklah;

1. Meyakini dan beriltizam untuk meningkatkan representasi kepimpinan wanita dalam politik agar pembangunan Malaysia lebih rahmah dan berdaya saing

2. Memperkasa struktur dan fungsi Majlis Pimpinan Wanita Harapan di peringkat nasional dan negeri

3. Memeterai dokumen Agenda Wanita Malaysia sebagai sebahagian daripada tawaran Pakatan Harapan untuk rakyat Malaysia merangkumi perlindungan hak, jaminan kesejahteraan dan kemakmuran pelbagai lapisan masyarakat

4. Menggerakkan siri Jelajah Wanita Pakatan Harapan sebagai persediaan Jentera Pilihan Raya Wanita Pakatan Harapan untuk memenangi PRU15

5. Mengadakan Konvensyen Wanita Pakatan Harapan di peringkat Nasional dan melancarkan Agenda Wanita Malaysia.

Selain itu, Wanita PH juga telah memperkemas struktur kepimpinan Wanita Pakatan Harapan sebagai manifestasi kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik.

Soraya berkata, dengan kerjasama padu daripada semua komponen wanita gabungan parti Pakatan Harapan, kemaskini struktur kepimpinan ini bakal memberi nafas baharu dalam perjuangan reformasi politik tanah air demi membebaskan Malaysia daripada politik khianat, fitnah, propaganda dan kebencian kaum.

“Sempena bulan kemerdekaan negara yang ke-65, Wanita Pakatan Harapan terus komited menggembleng kebangkitan total rakyat bagi memerdekakan negara daripada cengkaman kerakusan elit politik yang digelumangi rasuah untuk memenangi PRU15 sekaligus mencetus perubahan politik negara ke arah pemerintahan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Struktur kepimpinan wanita PH yang baru

Ketua Wanita PH masih lagi disandang oleh Aiman Athirah.

Manakala Timbalan Ketua disandang tiga wanita iaitu sayap wanita DAP Chong Eng, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek, dan sayap wanita UPKO Juliana Janni.

Naib Ketua pula disandang oleh Nor Hayati Bachok (AMANAH), Juwairiya Zulkifli (PKR), dan Alice Lau (DAP).

Ketua Setiausaha: Teo Nie Ching

Timbalan Ketua Setiausaha: Norhayati Bidin

Bendahari: June Leow

Ketua Penerangan: Soraya Salim

Pengarah Komunikasi: Yeo Bee Yin

Pengarah Pilihan Raya: Rozita Abdul

Pengarah Latihan: Sangetha Jayakumar

Biro Media & IT: Loh Ker Chean

Biro Dasar Awam: Kasthuriraani Patto

Biro Mobilisasi: Anfaal Saari

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat & Keterangkuman Gender, Majlis Presiden Pakatan Harapan: Hannah Yeoh

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat & Keterangkuman Gender, Majlis Presiden Pakatan Harapan: Fadhlina Sidek

Baca juga: Jangan serkap jarang, penjawat awam pun bayar cukai, bukan penjawat swasta sahaja

Baca juga: Amboi! ‘Berkelah’ di lapangan terbang ya! Netizen nasihat keluarga ini cari tempat lebih sesuai