Malaysia Dateline

Tidak ada orang yang waras kaitkan rasuah dengan bangsa dan agama, kata MCA kepada Hadi

MCA menyifatkan kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan rasuah dengan kaum amat dikesali dan mesti dihentikan segera.

“Ia mesti ditegur dan ditarik balik segera.

“Tidak ada orang yang waras fikirannya mengaitkan isu rasuah dengan bangsa dan agama,”kata Setiausaha MCA, Datuk Chong Sin Woon ketika hangat rakyat membincangkan kes 1MDB dan pendedahan Jawatankuasa Kira-kira Awan Negara (PAC) berkaitan skandal kapal LCS.

Ketika dakwaan rasuah terhadap rakan karib Hadi, Datuk Seri Najib Razak sampai ke penghujungnya iaitu di Mahkamah Persekutuan, bagi MCA rasuah tidak ada kena mengena dengan bangsa atau agama.

Ini adalah fakta yang jelas dan pemikiran dari akal sehat yang asas, kata beliau lagi kesal dengan kenyataan Hadi.

Bagi beliau, fitnah yang tidak berasas terhadap bukan Bumiputera dan bukan Islam ini sudah cukup untuk membangkitkan kebencian, ketidakpercayaan dan salah faham terhadap bukan Bumiputera dan bukan Islam, di samping menimbulkan permusuhan etnik dan agama.

“Ia harus segera dihentikan,” kata beliau.

Dalam sedutan kenyataan Presiden Pas melalui Harakahdaily semalam, Hadi Awang menyatakan “‚Ķgolongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera‚Ķ”

Pandangan MCA sejajar dengan pandangan tiga pemimpin Melayu dari DAP.

Young Syefura Othman, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Shahredzan Johan menyifatkan kenyataan Hadi itu hanya untuk menanamkan sentimen perkauman sempit.

Tiga pemimpin Melayu DAP, Young Sefura, Shahredzan dan Sheikh Omar, juga kesal dengan kenyataan Hadi.

“Kami ingin mengingatkan Hadi supaya berhentilah dari perangai yang sewenang-wenangnya mengaitkan rasuah dengan sentimen perkauman sempit.

“Ajaran Islam telah menolak perbuatan rasuah tanpa mengira kaum atau warna kulit.

“Dalam Hadith, Islam mengecam sesiapa sahaja yang memberi dan menerima rasuah dengan meletakkan taraf kedua-duanya ke dalam neraka,” kata mereka bertiga.

Mereka seterusnya memberitahu Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah itu bahawa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menunjukkan negara seperti Denmark, Finland dan New Zealand sebagai antara negara teratas melawan rasuah? Bahkan negara jiran Malaysia – Singapura sendiri pun telah jauh meninggalkan kita.

Negara-negara tersebut bukan majoriti beragama Islam, tetapi kesungguhan mereka melawan rasuah adalah jauh lebih baik daripada negara kita, kata mereka.

Kata mereka, banyak perkara yang mendorong amalan rasuah.

Laporan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 telah mendedahkan, punca rasuah berlaku ekoran kurang sokongan, kurang kesedaran, kerenah birokrasi, kurang pengesanan awal, kurang usaha mencegah rasuah serta kelemahan penguatkuasaan.

Selain itu, kelemahan pentadbiran Malaysia ekoran manipulasi terhadap sistem dan prosedur menjadi punca amalan rasuah tertinggi mencecah 36%.

Konflik kepentingan membabitkan kuasa budi bicara, kuasa mutlak dan campur tangan politik pula menyumbang sebanyak 33.12%.

“Ini menunjukkan bahawa ketiadaan ‘political will’ oleh para pemimpin telah merencatkan usaha Malaysia membasmi rasuah hingga ke akarnya.

“Lebih teruk lagi apabila pemimpin sendiri bergelumang dengan rasuah dan salahguna kuasa.

“Ini bukannya soal bukan Islam atau bukan bumiputera sepertimana dakwaan Hadi. Tanggungjawab memerangi rasuah merentasi kaum dan agama,” kata mereka.

Mereka menasihatkan Hadi, daripada menyalahkan sesuatu kaum, lebih baiklah Hadi jawab dahulu soalan; mengapakah kedudukan indeks persepsi rasuah Malaysia menjadi lebih buruk sedangkan Pas sendiri telah berada dalam Kerajaan sejak 2020?.