Sekiranya Pakatan Harapan benar-benar serius untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, satu lawan satu adalah senjata ampuh yang mesti diguna pakai, kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.
Beliau berkata, walau bagaimana pun, kesepakatan yang wujud mestilah ikhlas serta didokong oleh sifat tolak ansur tanpa ada perasaan satu parti lebih dominan dari parti yang lain.
“Jangan ada sifat ‘abang long’ sepertimana yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) sedikit masa yang lalu.
“Rakyat sebelum ini telah memberi kepercayaan kepada PR, namun begitu akhirnya telah dikecewakan.
“Bagi merealisasikan impian kemenangan dalam PRU yang akan datang, Pakatan Harapan Negeri Kedah telah mengorak langkah menerajui kesepakatan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu katanya, pendekatan lebih terancang telah diambil oleh Pakatan Harapan dengan melantik bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Abdul Rahman Ahmad sebagai Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Negeri Kedah.
Dengan pelantikan tersebut juga tegasnya, percambahan perancangan dan kepelbagaian program mampu dilaksanakan dalam masa terdekat tidak lama lagi.
“Pakatan Harapan akan diperkasakan secara rasmi dan juga tidak rasmi melalui perjumpaan, mesyuarat dan juga mempelbagaikan aktiviti.
“Pintu akan dibuka seluas-luasnya oleh di Kedah kepada sesiapa sahaja yang sanggup untuk memperkuatkan pembangkang.
“Segala rundingan dengan mana-mana komponen lain akan turut dibincang dan diputuskan terlebih dahulu dalam Pakatan Harapan, ” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, kesepakatan ini bukan sahaja untuk PRU semata-mata, sebaliknya akan diperkemaskan dari masa ke semasa sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat.