“Tidak ada perbincangan mengenai pembubaran Parlimen pun. Tak ada ‘meeting’ pun.”
Itu kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dipetik BH menjawab dakwaan wujudnya perbincangan mengenai pembubaran Parlimen pada pertemuan beberapa menteri Umno, pagi tadi.
Terdahulu, beberapa menteri daripada Umno dilapor mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Putrajaya hari ini.
Difahamkan pertemuan itu diadakan sebelum menteri terbabit menghadiri Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra.
Antara yang dilapor memasuki pintu masuk hotel itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang tiba pada jam 8.45 pagi serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, 9.37 pagi.
Perjumpaan kira-kira satu jam itu tamat pada jam 9.50 pagi dan semua menteri Umno yang hadir itu keluar serentak, lapor BH.
Namun, difahamkan, selain Mahdzir, tiga lagi menteri daripada Umno tidak kelihatan iaitu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Mengulas lanjut, Mahdzir antara lain turut menafikan dakwaan mengenai penganjuran mesyuarat membabitkan beberapa menteri terbabit di sebuah hotel di Putrajaya, seperti dilaporkan media.
“Bila ‘meeting’ (mesyuarat)? Tidak ada perbincangan mengenai pembubaran Parlimen pun. Tak ada ‘meeting’ pun,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, lapor BH lagi.
Baca juga: