Malaysia Dateline

Zulhazmi Shariff

Tidak ada satu ayat, perkataan dan fasal bahawa DAP untuk Cina

Tidak ada satu pun perkataan, ayat mahupun fasal di dalam Perlembagaan DAP yang meletakkan perjuangan parti itu adalah untuk satu-satu kaum khususnya Cina.

Naib Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff mengingatkan bahawa perjuangan DAP adalah untuk semua warga Malaysia sama ada di Semenanjung mahu pun Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Ini bukanlah perkara baru kerana sejak penubuhan parti itu 55 tahun lalu, DAP telah memperjuangkan semua kaum, agama dan bangsa.

“Fasal III Perlembagaan DAP mengangkat DAP sebagai sebuah parti demokrasi yang memperjuangkan setiap warga Malaysia mengikut ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan. Matlamat perjuangan DAP digariskan satu persatu di dalam Fasal III ini.

Ronnie bukan orang baru di dalam DAP dan politik. Justeru semestinya Ronnie sendiri faham dan fasih tentang Perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Zulhazmi berkata, Ronnie amat benar apabila mengatakan DAP adalah parti pelbagai kaum kerana itulah hakikat sebenar DAP.

Namun apa yang malang katanya, Ronnie gagal untuk mempertahankan kenyataan awalnya apabila menyatakan bahawa DAP tidak perlu mencairkan kecinaannya.

“Nampaknya Ronnie keliru dengan diri sendiri. Mungkin kemelut politik negara sekarang ditambah dengan pandemik Covid19 yang tidak nampak kesudahan menyebabkan Ronnie keliru sehingga berucap sedemikian,” katanya lagi.

Zulhazmi berkata, DAP di Kedah mempunyai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang cukup dikenali dan mesra kepada semua iaitu Adun Derga, Tan Kok Yew dan Adun Kota Darul Aman Teh Swee Leong masing-masing dikenali sebagai Adun untuk semua bukan hanya untuk Cina.

Katanya, khidmat mereka di Kedah khususnya di Dun yang mereka wakili bukan hanya untuk kaum Cina tetapi untuk semua.

Bahkan, apa sahaja masalah berbangkit dalam masyarakat akan disantuni dan diselesaikan mengikut kemampuan yang ada.

“DAP Kedah tidak hanya dianggotai kaum cina malah kami DAP Kedah dianggotai dan ditunjangi semua bangsa Melayu, Cina dan India.

“DAP Kedah tidak akan terjerat dalam jerat musuh yang mahu membina persepsi negatif terhadap DAP untuk melemahkan DAP.

“Musuh politik DAP hanya mahu melihat DAP kecundang. Mereka tidak berdaya melawan dengan khidmat tetapi hanya dengan tipu daya dan tohmah jahat,” katanya lagi