‘Tidak ada sebab nak tinggalkan parti, melainkan ada yang cemburu’

‘Tidak ada sebab nak tinggalkan parti, melainkan ada yang cemburu’

“Tidak ada sebab untuk saya tinggalkan parti, melainkan ada yang cemburu nak tendang saya keluar,” kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau sememangnya komited bersama parti dan akan tetap berada dalam parti, pada masa sama menyokong kepimpinan dan juga ahli-ahlinya.

“Saya telah dipilih dan saya diberi mandat besar dalam PKR. Bukan saya sahaja, malah seluruh pasukan PKR kita dapat undi dua pertiga dalam pemilihan parti.

“Jadi, tidak ada sebab untuk saya tinggalkan parti melainkan ada yang cemburu nak tendang saya keluar,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali.

Rabu minggu lalu, Syed Husin dilaporkan mendakwa Mohamed Azmin merancang menubuhkan parti baharu apabila pergeserannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kian meruncing.

Syed Husin berkata, ini merupakan satu daripada tiga perancangan yang diusahakan Azmin akhir-akhir ini.

Dalam isu sama, Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyifatkan Syed Husin cemburu dengan kejayaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Azmin berkata, walaupun Syed Husin sudah berpuluh-puluh tahun dalam arena politik, tetapi tidak memberi kesan dalam arena politik.

“Mungkin dia cemburu dengan kejayaan Dr Mahathir yang mendapat sambutan gemuruh daripada rakyat Malaysia,” katanya lagi.