Malaysia Dateline

Tidak ada sesiapa jadi abang besar 

Seperti mana yang rakyat Malaysia sedar apabila belajar Inggeris ketika waktu kecil, perkataan dari bahasa itu dengan yang Melayu membawa maksud berbeza dan tidak boleh diterjemahkan secara langsung dengan tepat.

Salah satu perkataan itu ialah “brother.” Terjemahannya ialah saudara lelaki. Tetapi perkataan abang apabila diterjemahkan menjadi “elder brother.” Perkataan ini kalau diterjemahkan balik ke bahasa Melayu, ia boleh menjadi “saudara lebih tua.”

Oleh kerana abang sebagai saudara yang lahir dahulu mempunyai saiz lebih besar, maka perkataan yang digunakan sebagai ganti “elder brother” ialah juga “big brother.”

Apabila diterjemahkan kembali, ia boleh menjadi “saudara lelaki besar.” Maka, dalam bahasa Melayu, tidak ada istilah “abang besar”. Apa yang ada hanyalah abang sebagai terjemahan kepada big brother. Sebab dalam bahasa Inggeris, brother boleh bermaksud abang atau adik lelaki. Maka big brother itu adalah abang sementara adik ialah small brother.

Tetapi sejak tahun 1949, big brother sudah menjadi istilah politik. Ia berpunca dari novel karya George Orwell berjudul “1984”.

Buku ini menggambarkan sebuah negara diperintah oleh diktator yang menentukan semua aspek kehidupan rakyatnya dengan mengintip mereka. Dalam negara itu, bahasa diperalatkan untuk menguasai fikiran rakyatnya menjadikan perkataan-perkataan membawa maksud yang terbalik.

Maka diktator itu memanggil dirinya Big Brother, seolah-olah ia bermaksud abang yang menjaga kepentingan rakyat sedangkan sebenarnya dia adalah diktator yang menguasai kehidupan mereka. Istilah Big Brother dalam politik dikenali sebagai diktator yang menguasai rakyatnya atau penduduk di negara-negara di bawah pengaruhnya.

Novel “1984” itu merupakan kritikan terhadap sistem komunis yang diamalkan oleh Soviet Union ketika diperintah oleh Stalin. Namun, dalam fiksyen ini, ia menggambarkan sebuah negara seperti empayar British dinamakannya Oceania yang diperintah diktator Big Brother.

George Orwell adalah seorang wartawan British yang menjadi pendukung fahaman sosialisme demokratik tetapi keras menentang sistem totalitarian seperti Nazisme dan Stalinisme.

Totalitarian adalah sistem negara yang mana seorang diktator melalui sekumpulan pendukungnya menguasai sepenuhnya kehidupan rakyat. Contoh negara yang mengamalkan sistem ini ialah Jerman di bawah Adolf Hitler dan Soviet Union ketika dipimpin Stalin.

Mengkritik sistem totalitarian

Buku “1984” dan Animal Farm adalah karya George Orwell yang sudah menjadi klasik dunia dan diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Animal Farm juga mengkritik sistem totalitarian. Buku tipis berbentuk satira ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan tajuk Politik Kandang.

Tetapi istilah Big Brother sudah berkembang, bukan sahaja merujuk pada seorang diktator dalam sebuah negara kuku besi. Ia juga boleh digunakan dalam hubungan antara negara.

Maknanya sebuah negara besar dan kuat boleh menjadi Big Brother kepada negara-negara kecil yang mendapati diri mereka terpaksa mengikut telunjuk atas pelbagai sebab.

Saya mengenali buku “1984” dan Animal Farm pada tahun 1976, semasa di tingkatan lima. Di perpustakaan sekolah saya terdapat kedua-dua buku ini. Pada tahun itu, Soviet Union masih wujud dan dipimpin oleh Leonid Brezhnev. Walaupun Brezhnev tidak sekeras Stalin tetapi Soviet Union masih mengamalkan sistem totalitarian.

Namun, pada masa itu, negara-negara komunis sudah berpecah tiga. Moscow tidak lagi menjadi Big Brother bagi semua negara komunis, tidak seperti pada zaman Stalin.

Soviet Union di bawah Brezhnev menjadi Big Brother bagi kebanyakan negara-negara komunis di Eropah Timur iaitu Poland, Jerman Timur, Czechoslovakia, Hungary, Romania dan Bulgaria. Sementara negara komunis bukan Eropah yang pro-Moscow ialah Mongolia, Cuba, Vietnam Utara dan Korea Utara.

Dua negara komunis Eropah yang menolak Soviet Union ialah Yugoslavia dan Albania. Yugoslavia mengambil jalan independen dan berbaik dengan Barat. Albania pula satu-satunya negara komunis yang pro-China.

Tetapi sebelum Perang Dunia Kedua, hanya ada dua negara komunis iaitu Soviet Union dan Mongolia. Stalin pula bukan saja menjadi Big Brother kepada rakyat negaranya tetapi semua anggota parti komunis di seluruh dunia termasuk Parti Komunis China dan Parti Komunis Malaya.

Selepas Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin, Big Brother Stalin mengarahkan semua parti-parti komunis di negara yang dijajah kuasa Barat supaya mengangkat senjata untuk memperjuangkan kemerdekaan. Maka pada tahun 1948, berlakulah darurat di Malaya.

Pada tahun sama, Malayan Union dimansuhkan dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Tahun berikutnya iaitu 1949, Parti Komunis China mengalahkan Parti Kebangsaan China, Kuomintang dan mereka mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat China. Pada tahun itu juga novel “1984” itu diterbitkan di London.

Walaupun Soviet Union dan China bersolidariti sebagai negara sama-sama komunis, tetapi gelagat Stalin dan Soviet Union sebagai Big Brother tidak disenangi Mao Zedong.

Ini kerana dasar-dasar luar Moscow ternyata mengutamakan kepentingan nasional Rusia daripada pertimbangan kemajuan gerakan komunis sejagat. Apatah lagi dengan kepentingan nasional parti komunis di negara masing-masing.

Umpamanya, apabila Stalin mengarahkan parti komunis sesebuah negara mengangkat senjata melawan penjajah Barat, tujuan beliau adalah untuk melindungi kepentingan Rusia dalam berdepan dengan Amerika Syarikat (AS). Kepentingan nasional negara parti komunis berkenaan tidak menjadi perhitungan.

Rasa tidak senang Mao terhadap Moscow mula berputik apabila meletus Perang Korea pada tahun 1950. Stalin berjanji pada Mao untuk menghantar bantuan bagi menolong Korea Utara dalam usahanya melawan tentera Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diterajui oleh Amerika dalam rangka membela Korea Selatan.

Soviet Union tidak menunaikan janji dan China terpaksa bersendirian membantu Korea Utara pada awal peperangan. Pada tahun itu juga, George Orwell meninggal dunia.

China juga  tidak dapat menerima sikap Big Brother yang ditunjukkan oleh Soviet Union. Walaupun Soviet lebih “senior”, besar, kuat dan merupakan negara utama bagi mengalahkan Nazi Jerman, tetapi bagi Mao, kedua-dua negara berdiri setaraf di pentas dunia dan dalam pergerakan komunis sejagat. Beijing mahu menganggap Moscow sebagai brother saja, atau dalam istilah komunis, disebut comrade iaitu rakan seperjuangan.

Namun, perpecahan antara Moscow dan Beijing hanya berlaku selepas kematian Stalin. Penggantinya, Nikita Khrushchev mendedahkan kekejaman Stalin dan ia menjadi satu tamparan bagi gerakan komunis seluruh dunia.

Bagi Mao, pemimpin Soviet itu telah memalukan gerakan komunis dan tidak wajar dipatuhi. Perselisihan antara kedua-dua negara membawa kepada pertempuran di sempadan kedua negara.

Maka blok komunis pun berpecah. Parti-parti komunis di seluruh dunia juga berpecah dua iaitu pro-Moscow dan pro-Beijing. Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Indonesia memilih untuk berpihak pada Parti Komunis China.

Kini Soviet Union, Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Indonesia sudah tiada. Tetapi Republik Rakyat China dan Parti Komunis China bukan saja masih ada, malah bertambah hebat.
Novel 1984 terus diterbitkan dan dijual di seluruh dunia. Ia menjadi bahan kajian oleh peminat sastera dan politik. Ia juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia.