Malaysia Dateline

Tidak ada yang akan lompat bersama PN di Kedah

Setakat ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu negeri Kedah adalah stabil dan tidak ada yang akan melompat bersamaa Perikatan Nasional (PN) sepertimana yang didakwa.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua AWAN Negeri Kedah, Dr Salmee Said.

Jelas beliau, kerajaan negeri Kedah kini telah, sedang dan akan meneruskan agenda peduli rakyat sepertimana yang telah dilaksanakan sejak menerajui kepimpinan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri dibawah kepimpinan Menteri Besar (MB), Datuk Seri Mukhriz akan terus melaksanakan segala yang telah direncanakan sejak 22 bulan yang lalu.

“Malah para pelabur dalam dan luar negara turut memberi keyakinan dan percaya dengan kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.

“Sehubungan itu kita akan meneruskan usaha bagi mencambahkan lagi pelaburan sepertimana yang telah dinyatakan oleh MB bahawa ia meningkat sehingga mencapai 10 bilion,” ujar beliau.

Dr Salmee yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah turut berkata, sehingga ini hubungan dan kerjasama erat antara PH dengan Bersatu negeri Kedah menyukarkan segala usaha dan rancangan PN untuk memecahbelahkan kekuatan yang ada.

Namun begitu tegasnya, tidak dapat dinafikan PN akan terus melaksanakan segala usaha mereka bagi menimbulkan kekeliruan sehingga menimbulkan kebimbangan kepada rakyat negeri ini.

Sebaliknya, mereka lupa bahawa PH dan Bersatu akan tetap meneruskan agenda membela nasib rakyat sepertimana yang telahpun dilaksanakan sebelum ini.

Sejajar dengan itu tambah beliau, pelbagai program dan polisi yang telahpun dilakar dan direncanakan untuk pembangunan negeri dan rakyat negeri ini tetap akan menjadi prioriti kerajaan negeri.