Malaysia Dateline

Tidak adil salahkan Mahathir buat keputusan sendirian, kata Mohamad

Menteri Pertahanan Malaysia menyifatkan segala tuduhan dan kesalahan yang dilemparkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak adil.

Mohamad Sabu menerusi kenyataannya hari ini berkata adalah tidak adil bagi sesetengah pihak yang menuduh Dr Mahathir sebagai membuat keputusan secara sendirian.

“Setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia dilakukan secara kolektif melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet.

“Keputusan-keputusan yang diambil oleh kerajaan dilakukan selepas berbincang dan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Malahan dalam keadaan tertentu, Mahathir bersifat terlalu demokratik dan mengalah apabila hujah anggota mesyuarat lebih baik,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Mahathir juga dilihat tidak pernah memaksa pandangannya diterima oleh anggota kabinet.

“Anggota Kabinet bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.

” Jadi, tidak adil bagi mana-mana pihak untuk meletakkan kesalahan terhadap Perdana Menteri semata-mata,”katanya.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH mengulas mengenai kenyataan dibuat Ahli Parlimen Permatan Pauh Nurul Izzah Anwar ketika di wawancara bersama akhbar Singapura, The Straits Times,ratu reformasi itu meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi seperti mana sepatutnya.

Nurul Izzah juga berkata beliau sukar untuk bekerja dengan Dr Mahathir, yang dianggapnya bekas diktator.