Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kembali menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial ketika ini.
Mana tidaknya, baginda telah meninggalkan komen yang mendakwa tidak akan ada lagi pasukan yang mampu menyaingi kelab bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tunku Ismail yang juga pemilik JDT itu berkata, pasukannya telah berjaya mencapai kejayaan di pelbagai peringkat termasuk Asia hingga ia tidak boleh ditiru kelab lain.
Berjaya mencuri tumpuan ramai, kenyataan berkenaan dikongsi baginda menerusi satu hantaran yang dimuat naik di ruangan komen di platform media sosial milik JDT.
“Daripada jaga rumput, falsafah bola sepak, infrastruktur sehingga ke celebration (sambutan kemenangan). Tiada orang boleh buat apa kami (JDT) buat dalam negara atau Asia sebagai sebuah kelab.
“Kejayaan sama-sama mengiringi pemodenan dan inovasi. Sambutan kita adalah indentiti kita yang mewakili konsep JDT. Lain dari lain. Sentiasa meningkatkan kualiti dari setiap aspek.
“Kepada keluargaku, terima kasih atas sokongan anda,” tulis baginda menerusi satu hantaran di ruangan komen akaun Instagram rasmi milik JDT, iaitu. @officialjohor.
Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, Tunku Ismail dalam hantaran sama turut meminta ‘musuhnya’ untuk tidak mencemburui kehebatan skuad Harimau Selatan.
“Kepada musuhku, jangan kau cemburu atau membenci. Tetapi anda semua harus mengagumi kehebatan ini dan hargai sumbangan JDT kepada bolasepak tempatan.
“Kerana tidak akan ada lagi kelab macam JDT (berjaya) dalam setiap aspek. Kerana ada satu sahaja TMJ.” Ulas baginda lagi dalam ruangan komen tersebut.
Untuk makluman, kelab JDT berjaya melakar sejarah selepas meraih rekod ‘Double Quadruple Invincibles‘ kerana memenangi empat piala tanpa kekalahan bagi dua musim berturut-turut.
Skuad bimbingan Esteban Solari itu turut memenangi 25 daripada 26 perlawanan Liga Super pada musim ini dan pemainnya pula telah menjaringkan sebanyak 100 gol.
Kejayaan itu diraikan besar-besaran dalam sambutan sedekad dominasi di Stadium Sultan Ibrahim selepas perlawanan akhir Liga Super menentang Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Baca juga: Nak dapatkan suntikan penggalak ketiga vaksin Covid-19? Orang ramai dibenarkan ‘walk-in’