Malaysia Dateline

Tidak akan sokong PM, akuan tarik sokongan sudah dipersembah kepada Agong

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini memutuskan untuk tidak lagi berpihak kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan terbaru perdana menteri sama sekali tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan lagi kekhilafan yang jelas telah menyanggah Yang di-Pertuan Agong berkenaan titah baginda agar Ordinan Darurat dibahas di Parlimen.

“Umno memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada ke bawah duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaaan PN pimpinan Mahiaddin yang ternyata gagal di mata rakyat selaras dengan fasal 3.3 perlembagaan Umno,” katanya dalam sidang medianya sebentar tadi.

Zahid berkata, Umno telah mempersembahkan surat perakuan senarai Ahli-ahli Parlimen Umno yang telah menzahirkan penarikan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dengan itu katanya, Mahiaddin tidak lagi mempunyai majoriti dan beliau perlu meletakkan jawatannya secara terhormat.

“Surat akuan Ahli-ahli Parlimen Umno yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Mahiaddin sebagai perdana menteri telah pun saya persembahkan kepada Agong.

“Ini sekaligus menunjukkan kepimpinan Mahiaddin sudah pun hilang majoriti dan keabsahan beliau selaku ketua kerajaan dengan ini terbatal,” katanya lagi.

Zahid menambah, penarikan sokongan itu bagi menzahirkan kesetiaan terhadap Agong dan mendesak Mahiaddin mengambil tanggungjawab atas keingkaran kerajaannya yang menyanggah titah Agong dengan meletakkan jawatannya.

Hari ini, Mahiaddin melalui kenyataand dari pejabatnya memaklumkan bahawa proses pembatalan Ordinan Darurat oleh Agong seperti mana yang dipersembahkan oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai tidak dapat disempurnakan.

Beliau berkata, dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021 berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, maka pembatalan Ordinan-ordinan oleh Agong tidak lagi berbangkit.