Malaysia Dateline

Tidak benar hukuman penjara terus dikenakan jika tidak keluarkan preskripsi

Kementerian Kesihatan Malaysia menegaskan bahawa dakwaan pihak tertentu kononnya pengamal perubatan akan terus dikenakan hukuman penjara jika tidak mengeluarkan preskripsi atas permintaan pesakit adalah tidak benar.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, pesakit mesti terlebih dahulu menjalani konsultasi dengan seorang pengamal perubatan berdaftar sebelum sesuatu preskripsi boleh dikeluarkan.

“Konsultasi merupakan asas untuk preskripsi dikeluarkanb kepada pesakit. Ini bermaksud pesakit tidak sewenang-wenangnya boleh berjumpa pengamal perubatan berdaftar dan menuntut apa jua preskripsi dikeluarkan,” ujarnya.

Kenyataan tersebut susulan artikel pada 29 November lalu, bertajuk “MMA slams proposed fine, jail for doctors refusing to give prescription slips” di laman Free Malaysia Today dan beberapa laporan lain berkaitan isu sama.

Menerusi artikel itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menganggap rang undang-undang yang membolehkan doktor didenda dan dipenjara kerana menolak memberikan preskripsi atas permintaan pesakit sebagai “tidak wajar”.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya akan membentangkan penambahbaikan Rang Undang-undang Racun (Pindaan) bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan setelah selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatannya sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau farmasi luar.

Jelasnya, pengamal perubatan berdaftar sama sekali tidak disekat untuk membekalkan ubat kepada pesakitnya jika pesakit memilih untuk mengambil ubat di fasiliti perubatan mereka sepertimana amalan semasa.

“Kementerian Kesihatan juga ambil maklum bantahan beberapa pihak terhadap jenis hukuman yang dikenakan sekiranya peruntukan ini tidak dipatuhi.

“Setelah perkara ini dibincangkan dengan Pengurusan Tertinggi KKM, Majlis Penasihat Kesihatan (HAC) dan Kamar Peguam Negara, kementerian bersetuju untuk meneliti semula perkara ini dan akan membentangkan cadangan penambahbaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di persidangan Dewan Rakyat pada 25 November lalu, antara lain memperkenalkan peruntukan baru yang mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakitnya.