Tidak benar PKR Kelantan tiada pengaruh, kata AMK Kota Bharu

Tidak benar PKR Kelantan tiada pengaruh, kata AMK Kota Bharu

Ketua Koordinator AMK Cabang Kota Bharu, Haissazc Shuqkin Hisham, hari ini menafikan bahawa PKR tidak mempunyai pengaruh di Kelantan berbanding parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Beliau juga menafikan bahawa PKR cuba menjadi “jaguh” dalam soal agihan kerusi DUN di negeri itu.

Beliau berkata demikian sebagai kenyataan balas terhadap tuduhan yang dibuat oleh Ahmad Syauqey Abd Ghani, individu yang mendakwa dirinya sebagai Ketua Biro Pilihan Raya Kota Bharu dalam Free Malaysia Today bertarikh 15 Februari lalu.

Untuk pengetahuan umum, Ahmad Syauqey tidak lagi mempunyai sebarang jawatan atau mewakili PKR Cabang Kota Bharu yang mana telah ditetapkan dalam mesyuarat jawatankuasa PKR Kota Bharu itu sendiri, kata Haissazc Shuqkin dalam satu kenyataan.

Kata beliau lagi, dalam artikel berkenaan menyebutkan bahawa PKR Kelantan tidak mempunyai pengaruh yang kuat berbanding tiga parti komponen PH yang lain dan ditegur untuk tidak menjadi “jaguh” dalam soal agihan kerusi di peringkat DUN Negeri.

“Satu perkara yang harus diketahui oleh semua pihak adalah Pengerusi PKR Kelantan, Hj Abd Aziz Ab Kadir menyatakan hasrat untuk bertanding 15 kerusi DUN negeri bagi PKR daripada jumlah 45 kerusi secara keseluruhan.

“Dan jumlah tersebut bukanlah satu jumlah yang “melampau” kerana melihat kepada kekuatan PH negeri, sudah tiba masanya untuk PKR Kelantan mendepani cabaran dalam PRU kali ini dengan lebih ke depan dengan bertanding di banyak kerusi.

“Malah, hasrat untuk bilangan kerusi tersebut bukanlah satu perkara yang muktamad dan masih lagi dalam proses perbincangan di peringkat jawatankuasa tertinggi PH negeri,” kata beliau.

Jelas beliau, di sinilah kekuatan PKR Kelantan timbul yang mana masih lagi membuka ruang untuk berbincang dengan parti komponen yang lain dengan tidak bersifat mementingkan agenda tersendiri.

“Sebaliknya menggunakan sebaik mungkin kekuatan yang ada pada PH negeri untuk mengubah nasib dan masa depan rakyat Kelantan pada PRU14 ini.

Koordinator AMK Kelantan juga melahirkan rasa dukacita dengan tuduhan yang dilemparkan kepada PKR Kelantan bahawa sebilangan ahli parti menerima bantuan BR1M disebabkan oleh tiada dana kewangan yang kukuh untuk jentera parti, tambah beliau.

“Parti Keadilan Rakyat merupakan parti pembangkang yang konsisten dengan agenda reformasi dan melawan kerajaan Umno-Barisan Nasional dan tidak akan sesekali berganjak daripada prinsip parti termasuklah menerima bantuan atau sogokan daripada parti pemerintah itu,” kata beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)