Malaysia Dateline

Tidak bimbang atap bocor, penerima rumah baharu sumbangan Zakat Pulau Pinang bersyukur

Ahmad Sukri Mohamed Salleh

Jika dahulu, setiap kali hujan, Ahmad Sukri Mohamed Salleh, 49, tidak dapat tidur lena memikirkan anak-anaknya disebabkan lantai rumah akan dinaiki air kerana atap bocor.

Selain masalah atap bocor, struktur rumah pusaka keluarga yang diduduki bersama isteri dan tujuh anaknya selama lebih 15 tahun tidak lagi selamat kerana dimakan anai-anai.

Dia tidak mampu membina rumah atau mencari tempat tinggal lebih selesa untuk keluarganya disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi.

Kini, dia dan keluarga boleh tidur dengan lena apabila menerima rumah baharu yang disumbangkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Ahmad Sukri menyifatkan bantuan yang diberikan oleh ZPP telah memberikan sinar baharu kepadanya dan keluarga untuk menjalani kehidupan lebih selesa.

“Saya rasa terharu dan berterima kasih kepada ZPP kerana telah membantu menyediakan sebuah ‘mahligai’ untuk kami sekeluarga yang jauh lebih selesa berbanding rumah lama,” katanya seperti dilaporkan Buletin Mutiara.

Dia ditemui selepas majlis penyerahan kunci Bantuan Bina Rumah ZPP dekat Permatang Tinggi B, di sini pada 6 Mac lalu.

Penyerahan kunci rumah baru tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ahmad Sukri juga memberitahu bahawa rumah kayu yang didudukinya sebelum ini tidak mempunyai bilik menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa tidur bergelimpangan.

Namun kini katanya, bantuan rumah baharu ZPP membolehkan empat anak perempuan dan tiga anak lelakinya mempunyai bilik berasingan.

“Alhamdulilah, rumah baru ini mempunyai tiga bilik tidur dan dilengkapi dengan kipas serta lampu,” ujarnya.

Nafas lega

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyerahkan kunci rumah yang telah siap dibaik pulih kepada Abdul Aziz Abu Hussain.

Dalam pada itu, Abdul Aziz Hussain, 44, yang turut menerima bantuan menerusi Program Bantuan Baik Pulih Rumah ZPP berkata, dia kini boleh menarik nafas lega.

Menurutnya, rumah yang didudukinya kini dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan bekalan air bersih.

Dia bersama-sama tiga lagi ahli keluarga sebelum ini tinggal di rumah sewa yang sempit dekat Lahar Tambun Tasek Gelugor.

“Kami terpaksa berpindah dari rumah sewa sebelum ini kerana tuan rumah mahu membina rumah baharu jadi, saya terpaksa membina rumah sendiri di sini tetapi tidak ada bekalan elektri dan air bersih.

“Alhamdulillah, dengan bantuan ZPP, rumah yang kami duduki sekarang ini lebih luas dan selesa,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, bantuan rumah yang disediakan oleh ZPP menelan kos RM57,515.86 yang menggunakan reka bentuk baharu yang lebih moden.

“Pada tahun lepas sebanyak 25 buah rumah baru berjaya dibina dan pada tahun ini ZPP sasarkan 30 buah rumah bantuan zakat akan dibina di seluruh negeri,” jelasnya yang juga Pengerusi ZPP.

Tambahnya, selain bina rumah baru ZPP juga menyediakan peruntukan berjumlah RM5 juta setiap tahun bagi program membaik pulih rumah asnaf yang layak.

“Bantuan ini diberikan bagi membantu golongan asnaf fakir dan miskin menampung kos membaiki rumah yang rosak dan daif sekaligus menjadikan kediaman mereka lebih sempurna dan selesa untuk didiami,” katanya lagi.

Keadaan rumah baharu diterima asnaf Zakat Pulau Pinang.