Malaysia Dateline

Tidak boleh balik kampung sambut Ramadan

Kerajaan melarang orang ramai balik kampung untuk menyambut Ramadan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata larangan tersebut telah dilaksanakan sejak PKP fasa satu dan dua lagi.

Beliau menegaskan pergerakan rentas negeri juga tidak dibenarkan sejak PKP fasa satu dan dua dilaksanakan.

“Ramadan nanti pun ia tetap tertakluk kepada undang-undang sama.

“Pergerakan rentas sempadan negeri tetap dilarang sepanjang tempoh PKP fasa tiga seperti yang diputuskan masa PKP fasa satu dan dua.

“Bermakna, pergerakan beramai-ramai untuk pulang ke kampung (menyambut Ramadan) juga tidak dibenarkan, memang tidak boleh,” ujarnya selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.