Malaysia Dateline

Tidak boleh leka, pastikan Perak capai imuniti kelompok secepat mungkin

Pakatan Harapan (PH) Perak mengambil maklum bahawa negeri itu akan memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa esok.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perkembangan itu patut disambut dengan keazaman yang lebih kuat untuk rakyat di Perak mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

“Kita tidak boleh leka walau sesaat pun untuk mematuhi SOP yang ditetapkan supaya matlamat memerangi Covid-19 dapat kita capai bersama.

“Kepada mereka yang telah mendapat temujanji vaksinasi pastikan anda menghadirinya supaya program vaksin dapat berjalan secara lancar ke arah imuniti kelompok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, hanya dengan mencapai imuniti kelompok semua aktiviti akan dibuka semula dengan pematuhan kepada budaya norma baharu.

“Pada waktu yang sama Kerajaan Negeri Perak digesa memastikan segala kemudahan dan kempen diselaraskan dengan berkesan untuk Perak mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Perak hari ini mencatatkan pertambahan 384 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 27,444 kes.

Mengikut Jabatan Kesihatan Negeri Perak, sebanyak 19 mukim di Perak tiada kes Covid-19 selepas 28 hari dan 15 mukim lagi tiada kes selepas 14 hari.

Setakat 12 tengah hari tadi, terdapat tujuh mukim dalam kategori zon merah iaitu Mukim Taiping, Sitiawan, Lumut, Ipoh, Batang Padang, Bidor dan Sungkai.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Perak antara lima negeri yang memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua PPN bermula esok.

Zafrul berkata, Perak dan empat negeri lain iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.

Katanya, kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) bagi menyediakan rawatan kepada pesakit Covid-19 di negeri terbabit turut merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.