Malaysia Dateline

Tidak cukup guna selebriti tarik sokongan rakyat

Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai hak dan kebebasan dalam menyertai mana-mana persatuan bahkan parti politik yang telah dijamin kebebasannya di dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira latar belakang individu sama ada kita seorang rakyat biasa,orang kaya mahupun selebriti.

Keterlibatan golongan selebriti atau artis dalam arena politik nasional bukanlah perkara baru yang berlaku.

Keterlibatan mereka ini sudah bermula sejak sekian lama apabila mereka mempunyai kesedaran untuk menabur bakti kepada masyarakat serta ingin melihat perubahan dalam tampuk kepimpinan negara.

Penyertaan mereka sebagai ahli dalam mana-mana parti politik bergantung kepada pilihan mereka untuk memilih wadah perjuangan yang bersesuaian dengan cita rasa mereka.

Persoalannya, adakah golongan selebriti ini mampu untuk menarik sokongan rakyat sekiranya mereka diberi peluang untuk bertanding dalam Pilihanraya?

Tidak cukup sekiranya kita menggunakan populariti mereka untuk menarik sokongan rakyat tanpa sebarang dasar dan perancangan untuk menjaga kebajikan rakyat.

Kita imbas kembali semasa PRU pada tahun 1986 apabila Soh Chin Aun yang merupakan seorang pemain bola sepak negara telah bertanding sebagai ahli parlimen di Kota Melaka dengan menggunakan tiket parti MCA.

Namun,keputusan menunjukkan beliau kalah di tangan Lim Guan Eng yang merupakan calon baru daripada parti DAP.

Ini membuktikan bahawa rakyat tidak mudah terpengaruh dengan populariti seseorang individu. Rakyat akan terus memberi kepercayaan dan memilih calon yang dilihat mempunyai kemampuan dalam menjaga kebajikan mereka.

Kesimpulannya, dasar dan perancangan seseorang calon dalam menjamin kebajikan rakyat dan penduduk setempat adalah penting bagi menarik sokongan dan kepercayaan rakyat untuk memilih, sama ada yang bertanding itu orang biasa atau orang ternama.