Tidak diberikan apa-apa harapan oleh sesiapa pun semasa di bangku sekolah, pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini menasihati pelajar agar tidak mensia-siakan peluang kedua.
Berpegang teguh dengan maksud Al-Quran, Surah ar-R’ad (ayat 11), bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Kajang, Selangor ini akhirnya berjaya bangkit daripada kegagalan.
Beliau yang kini berusia 42 tahun telah memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) pada 2011 dalam bidang kejuruteraan kimia selepas empat tahun pengajian dari University of Birmingham, United Kingdom.
Ikuti perkongsian pengalaman jatuh bangun belajar yang ditempuhi PROF MADYA DR MIDHAT NABIL yang amat berterima kasih kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) atas peluang diperoleh:
Saya rasa terpanggil untuk berkongsikan kisah pengalaman belajar saya terdahulu. Ramai dalam kalangan pelajar saya sendiri di universiti ini menyangkakan bahawa saya adalah seorang yang cemerlang sejak di bangku sekolah lagi.
Namun, realitinya adalah tidak. Buat permulaan, keputusan UPSR saya adalah baik, di mana saya memperolehi 2A dan 2C. Selepas itu, prestasi akademik terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada diri saya.
Untuk keputusan PMR, saya hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik, sekaligus meranapkan impian saya untuk memasuki aliran Sains.
Dengan berat hatinya, saya meneruskan belajar di aliran Perakaunan. Tetapi nasib menyebelahi saya tidak lama selepas itu, di mana pihak sekolah membuka peluang kepada pelajar aliran lain yang ingin bertukar ke aliran Sains.
Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pelajar aliran Sains di sekolah saya. Setelah berjumpa dengan Guru Besar untuk menyatakan hasrat saya untuk bertukar aliran, beliau pada mulanya tidak bersetuju untuk saya mengikuti aliran Sains disebabkan oleh faktor keputusan PMR yang tidak memberangsangkan.
Saya bersungguh-sungguh berjanji kepadanya untuk belajar sebaik mungkin dan akhirnya beliau bersetuju untuk membenarkan saya memasuki aliran Sains.
Sebaik mengikuti aliran Sains, saya telah merasakan bahawa saya telah membuat satu keputusan yang silap, di mana subjek-subjek Sains Tulen yang saya ambil adalah terlalu sukar untuk saya ikuti.
Ditambah pula dengan subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai ‘killer subject’ oleh semua pelajar aliran Sains. Setiap kali peperiksaan tahunan, saya akan mendapat antara keputusan yang tercorot di dalam kelas dan ini mengundang perasaan risau kepada cikgu tingkatan saya (untuk subjek Matematik Tambahan, sekalipun tak pernah lulus).
Akhirnya, apabila keputusan SPM sebenar telah diumumkan, keputusan yang diperolehi adalah sangat teruk (tiada satu A pun yang telah saya perolehi jika mengikut kepada sistem penggredan SPM terkini).
Cikgu tingkatan yang menyerahkan slip keputusan tersebut menyatakan bahawa saya memang tiada masa hadapan yang cerah disebabkan oleh sikap saya yang tidak mahu berubah langsung dan di dalam hati saya mengakui akan pendapatnya.
Selepas itu, saya cuba untuk mohon sambung belajar di pelbagai institusi, malangnya semua telah ditolak. Maka bermulalah episod saya sebagai seorang operator pengeluaran di kilang Denso di Bangi.
Selepas 6 bulan, saya telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi Guardian, Kajang. Tidak lama selepas itu, saya mendapat maklumat bahawa bagi sesiapa yang tidak cemerlang semasa SPM, boleh menyambung belajar di peringkat Pra-Sains di UiTM.
Kursus Pra-Sains ini akan menggilap kembali pengetahuan subjek-subjek Sains Tulen sebelum diterima masuk ke program Diploma UiTM.
Jika berjaya memperolehi CGPA 3.00 dan ke atas bagi semester pertama kursus Pra-Sains, layak untuk mengikuti program-program Diploma di UiTM. Tetapi jika CGPA kurang dari 3.00, maka terpaksa mengikuti semester kedua kursus Pra-Sains. Alhamdullilah, saya telah diterima masuk ke program ini di UiTM Jengka, Pahang.
Malangnya, CGPA bagi semester pertama saya adalah 1.92 dan saya telah mendapat keputusan Gagal dan Diberhentikan. Apabila membaca keputusan tersebut, terus rasa dunia saya gelap gelita.
Maka, saya kembali membuat kerja sambilan selepas itu. Ibu bapa pun berasa sangat kecewa dan berputus asa dengan saya.
Tetapi selang seminggu selepas itu, ibu saya telah mendapat satu panggilan dari pihak UiTM Jengka yang memaklumkan bahawa mereka ingin membenarkan saya untuk mengikuti pengajian semester kedua Kursus Pra-Sains, memandangkan CGPA saya adalah kurang sedikit sahaja di bawah 2.00.
Mendengar berita ini, saya telah berjanji di hadapan ibu bapa saya untuk benar-benar berubah dan tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang lepas.
Oleh itu, saya telah mengikuti semester kedua tersebut dan Alhamdullilah saya telah memperolehi GPA 3.25.
Banyak perubahan yang telah saya lakukan, seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari maklumat di perpustakaan dan menyertai ‘study group’.
Semenjak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan mengekalkan momentum tersebut. Saya sambung pula pengajian di peringkat Diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis.
Selepas itu, saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan telah berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama bagi fakulti tersebut (pinjaman PTPTN tak perlu bayar balik).
Kemudian mengikuti Masters di dalam bidang Biochemical Engineering (by Coursework) di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, UK.
Selanjutnya, setelah menjadi antara 2 pelajar terbaik bagi program tersebut, terus ditawarkan tempat untuk pengajian PhD dalam bidang Kejuruteraan Kimia oleh universiti yang sama.
Alhamdullilah, telah menamatkan pengajian PhD dalam tempoh 4 tahun dan tesis telah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.
Jadi, tidak mustahil jika kita tidak berjaya pada masa kini, kita tidak boleh berjaya di kemudian hari. Yang paling penting adalah belajar daripada kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa.
Insya-Allah kalau saya boleh berjaya, anda semua pun pasti boleh melakukannya.
Saya berpegang teguh dengan maksud Al-Quran, Surah ar-R’ad (ayat 11) yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka”.
Alhamdullilah, sesungguhnya aku bersyukur kepada-Mu di atas segala nikmat yang telah Kau berikan kepadaku selama ini, Amin.
Akhir kata, jangan pernah mempersiakan peluang yang telah diberikan kepada kita, mungkin kita tidak akan merasai peluang kedua.
Coretan jujur penulis yang suatu ketika dahulu pernah tidak diberikan apa-apa harapan oleh sesiapapun.
Baca juga Pensyarah didakwa hina B40 rosakkan imej UiTM wajar dikenakan tindakan, kata MPP
Baca juga Pengurus buat hal, Khairul Aming mohon maaf
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio