Malaysia Dateline

Tidak dijemput ke pengebumian Ratu Elizabeth II, adakah Britain bakal berperang dengan Russia? Ini penjelasannya

Semasa meneliti kedatangan pemimpin negara-negara yang dijemput menghadiri majis pengebumian Ratu Elizabeth II di London, saya mendapati terdapat negara- negara yang tidak undang ke majlis ini.

Negara-negara yang tidak dijemput antaranya ialah Syria, Afghanistan, Myanmar, Republik Belarus dan Russia.

Bahkan kerajaan China menghantar perwakilannya setelah dijemput menghadiri pengebumian Ratu Elizabeth II. Tetapi saya ulangi Britain tidak menjemput RUSSIA!

Adakah Britain berperang dengan Russia? Laporan Fox News (13 September 2022) menyatakan kerajaan United Kingdom dilaporkan tidak menjemput Russia dan Belarus di upacara pengebumian Ratu Elizabeth II kerana kedua negara tersebut
bertanggungjawab kepada serangan dan penaklukan ke atas Ukraine.

Hubungan diplomatik antara kedua negara menjadi rapuh sejak pencerobohan Russia di Ukraine. Di samping itu operasi khas ketenteraan itu dilancarkan sebahagiannya dari wilayah Belarus, dengan presidennya, Aleksandr Lukashenko, adalah sekutu rapat Putin.

Ini seolah-olah mengaibkan Russia di persada antarabangsa menampakkan Russia sebagai negara pengganas dan penjenayah.

Dengan tidak dijemput seolah-olah secara rasminya Russia telah dipandang sebagai musuh oleh Britain dan juga sekutu Baratnya termasuk Amerika Syarikat (AS)

Dalam hubungan suasana dalam hubungan kedua ini dapat dinilai daripada Britain memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Malah Britain telah memberi jaminan akan menyediakan peruntukan tambahan 1.3 bilion pound (RM7.01 bilion) dalam bentuk sokongan dan bantuan ketenteraan kepada Ukraine, menerusi panggilan video oleh pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy.

Boris Johnson semasa menjadi Perdana Menteri adalah antara seorang penyokong kuat usaha Ukraine untuk menentang tentera Russia sejak Presiden Vladimir Putin melancarkan pencerobohan pada 24 Februari lalu.

Sebelum ini, kerajaan Johnson sudah menghantar peluru berpandu anti kereta kebal, sistem pertahanan udara dan senjata lain ke Ukraine. Malah bantuan ini ditingkatkan lagi kepada 2.3 bilion paun. (BBC 11 Ogos 2022)

Laporan Voice of America (8 Julai 2022) menyatakan Britain adalah negara kedua selepas AS yang memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine, termasuk sistem pelbagai pelancar roket terkini atau MLRS. Di samping itu beratus tentera
Ukraine menerima latihan mengendalikan MLRS di Britain.

Bekas Perdana Menteri itu dikatakan antara pemimpin Barat terawal yang mengunjungi Kyiv, ibu negara Ukraine selepas diserang Russia.

Dengan bantuan ketenteraan dan peralatannya, bayangkan jumlah pakar tentera, jurutera, juruteknik yang terlibat terutamanya dalam mengendalikan MLRS.

Dalam hubungan ini kerajaan Russia menuduh Britain memprovokasi Ukraine menyerang wilayah Russia. Kementerian Pertahanan Russia berkata ia sudah bersedia menyerang pusat-pusat membuat keputusan di Kyiv jika serangan tersebut
berlaku.

Maklum balas ini berpunca daripada kenyataan Menteri Pertahanan Britain bahawa “ia bukanlah satu masalah “ untuk Ukraine menggunakan senjata yang dibekalkan Britain ke atas sasaran ketenteraan di Russia.

Adakah dengan tidak menjemput Russia ke majlis pengebumian Ratu Elizabeth II bermakna Britain berperang dengan Russia?

Sekalipun jika tentera British berperang secara bersemuka dengan tentera Russia di Ukraine, Britain tidak akan mengisytiharkan perang dengan Russia.

Bantuan persenjataan, ekonomi, kemanusiaan dan kepakaran ketenteraan sudah membuktikan wujud “perang” tidak langsung antara Britain dengan Russia.

Sebutlah “perang di belakang tabir”, “perang proksi” atau “perang hibrid”, White Hall bukan sahaja terlibat bahkan terbabit bersama AS dalam perang dengan Russia ini.

Sejak dahulu lagi pakar-pakar diplomasi dan perhubungan antarabangsa Britain telah menyempurnakan seni dan permainan terlibat dalam konflik peperangan tanpa membuat perisytiharan terbuka dengan mana-mana negara sebagaimana pernah terbabit dalam perang di Iraq dan Afghanistan.


Penulis adalah pensyarah di Universiti Selangor (Unisel)

Baca juga: MP perlu sokong pindaan agar wanita diberi hak wariskan kerakyatan pada anak yang lahir di luar negara

Baca juga: Polis siasat kes budak hampir kena culik di Genting Highlands oleh perempuan bertelekung