Malaysia Dateline

‘Tidak diminitkan bagi melindungi Najib Razak’

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini memberitahu hal tertentu berkaitan Jho Low tidak diminitkan bagi melindungi Najib Razak.

Menurut Shahrol, Najib dalam satu mesyuarat pernah mahukan 1MDB melakukan perkara yang berbeza dengan kelaziman.

“Terdapat persamaan pola sebelum perjanjian dan selepas perjanjian itu. Perkara-perkara tertentu yang melibatkan Jho (Low) tidak diminitkan dan ini untuk melindungi Najib.

“Inilah cara bagaimana Najib menginginkan perkara-perkara dilakukan, saya masih ingat ketika kami sedang membubarkan TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu) ke 1MDB.

“Ada mesyuarat di mana Najib berkongsi mengenai 1MDB dan dia mahukan 1MDB melakukan perkara yang berbeza dan cepat dan meninggalkan cara lama di belakang.

“Terdapat satu mesyuarat khusus yang dihadiri oleh pegawai kanan Kementerian Kewangan, beliau berkata, “saya bukan hendak memusnahkan negara.”

Sehubungan itu, Shahrol berkata dirinya percaya kepada Najib dan apa sahaja yang dilakukan untuknya adalah wajar dan baik untuk negara ini.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan kes jenayah Najib yang bersambung hari ke-25 hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.