Malaysia Dateline

Tidak faham sikap politik AMANAH atau sengaja dikelirukan?

Tulisan saya mengenai kesatuan pembangkang, khususnya Pakatan Harapan, mendapat banyak reaksi. Artikel itu dilihat semacam mempersoalkan kewibawaan Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dan pengerusi PH.

Apabila disorot kembali peranan Dr Mahathir Mohamad semasa membentuk grand coalition menjelang PRU14, ada penyokong Anwar yang tersentap. Agak ramai pendukung kedua-dua tokoh “yang berlaga angin” itu begitu mudah terusik jika nampak gambaran seperti mahu membandingkan keupayaan kedua-duanya.

Mahathir berpengalaman menjadi perdana menteri, sebanyak dua kali, selama 24 tahun. Anwar pula dipancung kemaraannya selepas lima tahun berada pada kedudukan no. 2 dan sempat dua bulan memangku jawatan tertinggi kerajaan. Hubungan akrab bertukar tegang melalui pusingan roda, tinggal misteri; rasanya hanya mereka yang arif pergolakan sebenar, orang lain sekadar menduga.

Tumbangnya kerajaan Perikatan-BN buat pertama kali sejak enam dasawarsa juga disumbangkan oleh faktor Mahathir-Anwar. Namun, runtuhnya pentadbiran PH pada penghujung Februari 2020, selepas 22 bulan mentadbir, juga berpunca daripada isu peralihan kuasa Mahathir-Anwar yang tidak berjaya diuruskan dengan baik. Malah, kegagalan merebut semula Puterajaya daripada Muhyiddin Yassin pun disebabkan pertelingkahan berterusan Mahathir-Anwar, meskipun Perikatan Nasional diasak perpecahan serius.

Tiada siapa dapat menafikan usaha serius pembangkang untuk memartabatkan semula mandat rakyat seperti ditunjukkan dalam PRU14. Beberapa opsyen telah dikemukakan, dan masa mencukupi diberikan bagi mendapatkan “cukup bilang”. Selain nama Mahathir dan Anwar muncul sebagai calon perdana menteri, Presiden Warisan, Shafie Apdal turut tersenarai.

Faktor Mahathir-Anwar menyumbang kerajaan Perikatan-BN buat julung kali sejak 60 tahun lalu.

Dalam situasi PH tidak sejitu dahulu, manakala keanggotaannya berkurangan kepada tiga parti teras — PKR, AMANAH dan DAP — kumpulan penyokong Mahathir pula dilihat semakin menjarakkan diri daripada “grand coalition”. Kenyataan Mahathir yang berterusan merendahkan wibawa Anwar tentu sekali mengundang reaksi yang boleh dijangka. Sasaran beralih arah. Bidasan dan sindiran pedas di antara penyokong Mahathir-Anwar memenuhi media sosial.

Tergambar seolah-olah tiada lagi kepercayaan dua kelompok itu. Situasi seperti mengulangi zaman gelora 1998-99. Hujah rasional “tolak ke tepi”. Masing-masing berpegang kepada keyakinan sendiri. AMANAH dan DAP tersepit di tengah-tengah. Pemimpin kedua-dua parti itu dilihat cuba mencari jalan tengah, atas prinsip “tidak menambah musuh dan berusaha meramaikan kawan”. Ada yang cuba menjadi pendamai. Namun begitu, tugas mulia tapi sukar itu sering ditafsirkan secara salah. Mereka dilabelkan “bermain dalam dua kolam”.

Pemimpin-pemimpin utama AMANAH menerima bukan sedikit teguran dan kecaman. Mereka dituduh “meroyan” gilakan kuasa yang terlucut susulan langkah pengkhianatan. Isunya tetap sama, perbalahan berkaitan faktor Mahathir-Anwar. AMANAH dianggap tidak menyokong Anwar secara total; parti Islam itu juga seperti keberatan untuk melemparkan kritikan keras terhadap Mahathir. AMANAH tidak mahu menambah seteru politik di kala pembangkang memerlukan sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan. Memang segalanya nampak sukar dan payah, tetapi jalan mati jangan dicari.

Sebagai anggota PH, AMANAH tetap berpegang dengan ketetapan mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri. Kini tidak timbul lagi polemik Mahathir untuk mencuba nasib perdana menteri buat kali ketiga. Cuma, hubungan baik yang sedia terbina, termasuk di kalangan Pejuang dan Warisan, perlu terus dipertahan.

Malah di peringkat awal semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong sejurus tumbangnya kerajaan PH hujung Februari lalu, nama Anwar — bukannya Mahathir — dicadangkan sebagai perdana menteri. Ia bukti AMANAH sentiasa berpegang dengan konsensus dan keputusan mesyuarat. Dan ia tetap terikat dengan pilihan-pilihan yang dikemukakan dalam perbincangan PH seterusnya.

Balik kepada keperluan mendesak memperkukuh PH dalam setiap keadaan, terutama berdepan dinamika politik dan suasana ketidak-tentuan sekarang. Sebagai pengerusi PH, Anwar tidak wajar dilihat mengetepikan pandangan sikap rakan-rakan komponen terutama ketika berusaha mendapatkan sokongan daripada ahli parlimen di luar gabungan.

AMANAH tidak mahu menambah seteru politik di kala pembangkang memerlukan sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Menggembleng sokongan wakil rakyat Umno memang diakui umum termasuk dalam pilihan yang tidak dapat dielak walaupun ia bukannya sesuatu yang ideal. Apatah lagi apabila ada keretakan di antara Anwar dan Mahathir. Sedangkan jika digabungkan kedua-dua kelompok itu pun, “cukup bilang” tidak dapat dicapai; masih kurang 3-4 kerusi seperti dibuktikan dalam pengundian belah-bahagi. Inikan pula apabila Anwar tidak mendapat sokongan kumpulan Mahathir.

Demi mengembalikan kuasa yang “dirompak di tengah jalan” dan memartabatkan semula mandat rakyat, setiap pilihan akan dicermati dahulu. Pastinya apa jua opsyen dan kemungkinan perlu diteliti secara bersama dalam mesyuarat PH. Persepsi umum dan sikap penyokong tradisi, selain unjuran untung-rugi politik, wajar menjadi perkiraan dan pertimbangan utama.

Perkembangan pesat teknologi maklumat dan proses pendemokrasian yang kian meluas menyerlahkan respons segera masyarakat terhadap isu-isu politik. Media sosial dilambakkan dengan pelbagai pandangan. Penyokong setiap kelompok bebas meluahkan isi hati; ada yang masih menjaga sensitiviti, tetapi tidak kurang pula bebas menyindir dan menyerang. Bukan sekadar penyokong, malah aktivis dan yang bertaraf pimpinan turut melontarkan reaksi terbuka. Situasi ini memerlukan kematangan dan keterbukaan, serta tidak mudah membuat kesimpulan umum. Ruang awam sudah berbeda.

PH perlu mengharungi segala cabaran dan dinamika politik dengan urutan keutamaan yang tidak mudah dipesongkan. Elakkan atau tutup rapat potensi untuk saling syak wasangka. PRU14 mengajar tentang kesatuan dan perpaduan. Sedia berkorban demi mencapai cita-cita perjuangan yang lebih tinggi. Parti-parti yang berbeda tentu mempunyai kerencaman yang kompleks. Namun, ia diikat dengan solidariti, setiakawan dan berkongsi idealisme sama. Pengukuhan dan persefahaman PH adalah isu kritikal yang tidak boleh diremehkan.

Usah biarkan beberapa perbedaan pandangan meretakkan asas kekuatan yang dibina sekian lama. Jangan sia-siakan persahabatan yang terjalin sejak lebih 20 tahun lalu hanya kerana suara berlainan yang timbul di kiri-kanan perjalanan berliku ini. Biar kritikan keras diluahkan pemerhati, namun barisan pemimpin PH tetap berpegang dengan ketetapan bersama. Kita sudah lalui masa-masa sukar dan perit bersama; mendaki gunung menuruni lembah. Mengapa perlu menyerah kalah di penghujung kembara ini?

Malang sekali, kini pemimpin AMANAH yang membuktikan semangat setiakawan bersama rakan sekutu sejak Pakatan Rakyat lagi, dicurigai hanya kerana mahu kekal berbaik dengan parti atau individu tertentu. Ia ditohmah dengan prasangka yang bukan-bukan. Jika tidak dibendung, PH yang sedia mengecil itu boleh terjejas kemampuannya berdepan PRU15 nanti. Mungkin rakyat menjadi keliru melihat pertelingkahan berterusan parti pembangkang, meskipun menyedari kegagalan kerajaan Perikatan Nasional menguruskan negara selama sembilan bulan ini.

Ada pihak yang cuba melaga-laga sesama pimpinan AMANAH serta dengan pihak lain termasuk Anwar dan Dr Mahathir.

Sikap politik AMANAH yang matang, terbuka dan rasional itu juga ditafsirkan sebagai menyokong membuta-tuli Mahathir sekali gus mengetepikan Anwar. Pastinya tohmahan itu tidak berasas sama sekali; semua ahli Parlimen AMANAH menandatangani akaun bersumpah (SD) mencadangkan Anwar sebagai PM. Cuma masih ramai tidak berpuas hati apabila AMANAH tidak membariskan Mahathir dalam senarai seteru politik yang mesti diperangi.

Penjelasan dan siri penerangan telah dibuat berulang kali, tetapi masih timbul kekeliruan, yang mungkin sengaja dicetuskan. Ada pihak tetap tidak berpuas hati selagi sikap AMANAH kelihatan tidak serasi sepenuhnya dengan pegangan mereka.

Kali terakhir, ketika rencana ini ditulis, Pengarah Komunikasi, Khalid Samad, melalui sidang akhbar di Parlimen, tengah hari tadi menegaskan:

“Pimpinan AMANAH sedar ada pihak yang cuba melaga-laga sesama pimpinannya serta dengan pihak lain termasuk Anwar dan Dr Mahathir. Kami sokong Anwar. Tetapi kami berbeza dengan sesetengah pihak. Kita tak serang Mahathir dan tak serang Shafie Apdal dan Warisan.

“Ada orang luar AMANAH nak laga-lagakan kami agar berpecah… ini tak bijak dan tak wajar. AMANAH berusaha agar kumpulan Mahathir dan Shafie akan mengambil pendekatan bersama dalam berhadap dengan Belanjawan 2021 ini.”

Media sosial boleh saja menjadi medan tempur netizen yang berbeda pendapat, namun penggerak dan pemimpin PH diyakini mampu menangani apa jua persoalan berbangkit. Kesatuan “grand coalition” tidak boleh dipertaruhkan. Cabaran baharu sentiasa bersilih-ganti. Kebijaksanaan melihat setiap gugatan itu dalam kerangka besar adalah tuntutan mendesak. Usah hampakan harapan rakyat lagi.